SIK: Perjalanan balik kampung untuk menyambut Aidilfitri bertukar tragedi bagi tiga sekeluarga apabila mereka cedera selepas kereta dinaiki terbabit kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Batu 8, di sini hari ini.
Pasangan suami isteri itu dan anak mereka yang berusia enam tahun menaiki Perodua Myvi hanya kira-kira 100 meter lagi dari kampung apabila terbabit kemalangan dengan kereta jenis sama dan sebuah Toyota Camry sekitar jam 8 malam.
Mereka sekeluarga dipercayai dalam perjalanan pulang ke kampung dari Taiping, Perak untuk menyambut Aidilfitri dan hanya kira-kira 100 meter lagi untuk sampai ke kampung.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu pada 8.03 malam.
Beliau berkata, wanita yang memandu kereta Perodua Myvi putih itu tersepit dan cedera parah di paha dan lutut manakala suaminya cedera di muka.
"Pemandu sebuah lagi kereta Perodua Myvi iaitu lelaki berusia 31 dan penumpangnya, wanita berusia 27 tahun dipercayai baru pulang dari berniaga di bazar Ramadan.
"Manakala sebuah lagi kereta iaitu Toyota Camry Hitam yang dinaiki empat mangsa termasuk dua kanak-kanak lelaki berusia tujuh dan lapan tahun cedera ringan," katanya ketika dihubungi hari ini.
Zulkhairi berkata, kesemua mereka dibawa ke Hospital Sik dengan menaiki ambulans untuk mendapatkan rawatan.
Beliau berkata, anggotanya berjaya mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas dan memasang "cevical collar" di leher mangsa.