|
Muhamad Amirul Haziq Selamat, 16, (baju biru) ketika ditemui selepas berjaya ditemui pasukan mencari dan menyelamat akibat tersesat di hutan ketika melakukan aktiviti memikat ayam hutan. FOTO NAZDY HARUN.
Marang: "Tiada apa pun hendak makan untuk berbuka puasa ketika kami sesat dalam hutan semalam," kata Muhamad Amirul Haziq Selamat, 16.
Menceritakan kejadian sesat dalam hutan di Kampung Pulau Kerengga, Muhammad Amirul berkata, dia ke kawasan hutan yang terletak kira-kira 30 kilometer dari rumahnya bersama dua rakan kira-kira 11 pagi.
Menurutnya, sebaik tiba di pinggir hutan berkenaan kira-kira 12 tengah hari, dia terus menahan perangkap untuk memikat ayam hutan.
Katanya, tidak lama kemudian dia hairan apabila melihat di kelilingi hutan sedangkan menahan perangkap berdekatan motosikal ditunggangi.
"Saya bukan tidak biasa dengan hutan berkenaan kerana sudah lebih 10 kali pergi berseorangan sebelum ini untuk mencari madu lebah dan memikat ayam hutan.
"Namun, kali ini situasi amat berbeza apabila kawasan pinggir hutan berubah menjadi hutan sepenuhnya.
"Bagi menyelamatkan diri, kami terus berjalan untuk mendapatkan isyarat telefon di kawasan hutan itu," katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di Kampung Seberang Marang, di sini, hari ini.
Pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Kebangsaan Seberang Marang, di sini, berkata telefon miliknya ditinggalkan di motosikal dan kebetulan rakannya Mohamad Haris Kamarudin, 15, membawa telefon.
Menurutnya, mereka termasuk seorang lagi rakan Mohammad Adam Ajmal Zainudin, 15, terpaksa berjalan sebelum telefon bimbit rakannya mempunyai isyarat kira-kira jam 4 petang.
Katanya, dia terus menghubungi talian kecemasan dan memaklumkan lokasi keberadaan mereka.
"Ketika sedang berjalan untuk mencari isyarat telefon, saya dan rakan menemui alur sungai lalu mandi termasuk membasuh muka sebelum meneruskan perjalanan.
"Selepas meneruskan perjalanan, kami tidak lagi menemui punca air selain tiada makanan yang dibawa dan hendak atau tidak kami terpaksa berlapar selain tidak dapat berbuka puasa," katanya.
Menurutnya, selepas waktu Subuh, dia melaungkan azan dan tidak lama kemudian terdengar suara pasukan penyelamat termasuk bapanya yang turut berusaha mencarinya.
Katanya, dia bersama dua rakannya ditemui tidak jauh dari kawasan pengumpulan kayu dan yang menghairankan kedudukannya tidak jauh, namun tiada siapa berjaya menemui mereka sebelum itu.
Sementara itu, Mohammad Adam berkata, dia tidak pernah ke kawasan hutan berkenaan dan pengalaman pertama kali ke hutan berkenaan terus sesat meninggalkan pengalaman pahit buatnya.
"Kami bertiga tidak berbuka puasa selain tiada punca air untuk diminum kerana kami berada di kawasan lapang dan berumput.
"Walaupun letih, namun mata sukar dilelapkan kerana bimbang kehadiran binatang buas yang boleh mengancam keselamatan," kata pelajar Tingkatan Tiga Sekolah Menengah Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... ar-jadi-hutan-tebal |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|