|
Pengendali Bayer Leverkusen, Xabi Alonso menjadi buruan kelab-kelab Eropah termasuk Liverpool. - Foto AGENSI
LIVERPOOL: Liverpool dilaporkan sudah menghubungi ejen Xabi Alonso dalam usaha membawa pengendali Bayer Leverkusen itu ke Anfield.
Dengan Jurgen Klopp akan meninggalkan Liverpool sebaik tamat musim ini, usaha mencari penggantinya ditingkatkan.
Alonso dilihat antara calon paling tepat meneruskan legasi Klopp di Anfield, dan mereka sudah mula menghubungi ejennya, Inaki Ibanez.
Bos Leverkusen turut memaklumkan usaha Liverpool mendapatkan Alonso, yang kontraknya bersama kelab Jerman itu akan berakhir pada tahun 2026.
Bulan lalu dilaporkan kelab Bundesliga itu yakin Alonso akan menolak sebarang tawaran daripada Liverpool, dan akan terus kekal di Jerman melangkaui musim ini.
Pengendali berusia 42 tahun itu perlu membuat keputusan berkenaan masa depannya sama ada mahu kekal di Leverkusen atau menyertai Liverpool.
Alonso masih popular di Anfield selepas lima tahun bersama kelab itu sebagai pemain dari tahun 2004 hingga 2009.
Dia memenangi Liga Juara-Juara bersama The Reds pada tahun 2005, menjaringkan gol dalam aksi final dan menjulang Piala FA pada tahun berikutnya.
Selepas bermain untuk Real Madrid dan Bayern Munich, dia mula menjadi pengendali pasukan dan menunjukkan prestasi cemerlang di Leverkusen.
Selepas mengambil alih kelab pada Oktober 2022, Alonso membawa mereka dari zon penyingkiran ke puncak Bundesliga dengan kelebihan lapan mata hanya dalam tempoh 18 bulan.
Leverkusen masih belum tewas dalam mana-mana pertandingan musim ini, dan Alonso kini menjadi buruan kelab-kelab Eropah. - AGENSI
https://www.bharian.com.my/sukan ... a-alonso-ke-anfield |
|