ALOR SETAR: Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengeluarkan amaran gelombang haba tahap dua di daerah Pokok Sena, di sini, dengan meramalkan suhu boleh mencecah 40 darjah Celsius hari ini.
Selain itu, enam daerah lain di Kedah termasuk Kubang Pasu, Padang Terap, Sik, Baling, Pendang, Kota Star, dan Langkawi, sudah menerima amaran tahap satu, dengan suhu dijangka mencecah maksimum 37 darjah Celsius.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) melaporkan, suhu waktu siang di Pokok Sena boleh turun naik antara 37 darjah hingga 40 darjah Celsius untuk tempoh tiga hari akan datang.
"Bagi Kubang Pasu, Padang Terap, Sik, Baling, Pendang, Kota Star dan Langkawi pula suhu diramalkan antara 35 darjah hingga 37 darjah Celsius bagi tempoh sama," katanya.
Sementara itu, Pengarah MetMalaysia negeri, Muhammad Khalil Abd Aziz menasihatkan penduduk di negeri ini supaya berhati-hati ketika cuaca panas melampau.
Beliau menasihatkan supaya orang ramai mengehadkan aktiviti luar bagi mengelakkan terkena cuaca panas.
"Jika anda perlu keluar, pilih pakaian berwarna terang, pakai topi dan gunakan payung.
"Selain itu, jika berada dalam rumah, gunakan penghawa dingin dan kipas angin dan yang paling penting, kekalkan terhidrasi dengan meminum banyak air dan meminimumkan pengambilan minuman berkafein," katanya.