Kulim: Polis hari ini menahan lelaki berusia 31 tahun bagi membantu siasatan kes
bunuh pemandu lori di sebuah kedai kopi di Taman Damai, Padang Serai, Ahad lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintendan Safuan Mohd Noor berkata, suspek yang juga buruh ladang ditahan pada 1 tengah hari di pekarangan Hospital Kulim.
Katanya, dalam soal siasat awal, suspek tidak mengaku terbabit insiden serangan ke atas mangsa berusia 27 tahun.
"Suspek memaklumkan dia dicederakan oleh seseorang menggunakan pisau sewaktu berada di depan kedai makan berkenaan dan dihantar rakan ke hospital," katanya dalam kenyataan.
Safuan berkata, pihaknya percaya motif balas dendam mempunyai kaitan dengan serangan ke atas mangsa dan permohonan reman ke atas suspek akan dibuat esok.
"Polis masih memburu beberapa suspek lagi untuk membantu siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya yang memberitahu suspek ditahan mempunyai dua rekod kesalahan lampau berkaitan rusuhan bersenjata dan mendatangkan kecederaan.
Media sebelum ini melaporkan pemandu lori maut diserang dua lelaki bersenjatakan parang dan sabit.