|
SAKA terus memainkan watak penting buat Arsenal apabila meledak dua gol ketika membelasah West Ham 6-0 di Stadium London kelmarin. – AFP
LONDON – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta dapat merasakan sesuatu yang cukup istimewa dalam skuadnya selepas membelasah West Ham United 6-0 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium London kelmarin.
Ketajaman dipamerkan itu mengesahkan kemenangan terbesar The Gunners dalam saingan EPL di tempat lawan yang menyaksikan Bukayo Saka berjaya meledak dua gol, sekali gus membalas dendam terhadap kekalahan di tangan West Ham di Emirates sebelum ini.
“Selepas kemenangan ke atas Liverpool, saya merasakan pasukan ini memiliki keazaman untuk melunaskan apa yang berlaku di Emirates. Kami melakukan semuanya dalam keadaan tepat.
“Jika kami mahu berada di atas, kami perlu konsisten dan terus berada pada tahap seperti ini. Ia satu aksi yang sukar, namun kami mampu melakukannya dan sudah pasti secara kolektifnya saya gembira dengan permainan pasukan serta individu.
“Kesungguhan pemain memberikan tekanan adalah sesuatu yang bagus. Kami bermain secara mudah, memenangi setiap perebutan dan kekal berikan aksi terbaik,” katanya.
Empat lagi gol Arsenal dalam perlawanan itu masing-masing dijaringkan satu oleh William Saliba, Gabriel Magalhaes, Leandro Trossard dan Declan Rice.
Sebagai rekod, dua gol Saka dalam aksi itu melengkapkan jaringannya yang ke-50 dalam semua kejohanan bersama Arsenal sejak mula membuat debut profesional pada 29 November 2018.
Kecemerlangan Saka menyaksikan Arsenal terus menghimpit kedudukan pendahulu EPL, Liverpool yang cuma berkelebihan dua mata ke atas mereka di tangga ketiga, manakala terikat 52 mata dengan Manchester City di tempat ketiga. – AGENSI
https://www.kosmo.com.my/2024/02 ... rjaya-lunas-dendam/ |
|