|
KANE berjaya meledak 24 gol dalam 22 perlawanan bersama Bayern setakat musim ini. - AFP
MUNICH – Penyerang sensasi Bayern Munich, Harry Kane mengakui sudah mula mengintai peluang untuk memecahkan rekod Robert Lewandowski selepas menjaringkan 24 gol dalam kancah Bundesliga musim ini.
Sebagai rekod, Lewandowski telah mencipta sejarah muncul penjaring gol terbanyak Bundesliga apabila meledak 41 gol pada musim 2020/2021 ketika mewakili Bayern.
Kane yang baru berhijrah ke kelab The Bavaria pada jendela perpindahan tahun lalu berjaya menjaringkan 24 gol dalam 22 perlawanan liga ketika ini.
Kapten antarabangsa England itu mengakui apa yang dilalui oleh pada musim pertama di Jerman adalah perkara yang luar biasa kerana bukan mudah untuk menyesuaikan diri dengan budaya dan keadaan bola sepak baharu.
“Saya tidak mahu meletakkan jangkaan terlalu tinggi, tetapi saya tahu apa yang perlu saya lakukan selepas menjaringkan banyak gol dalam pentas Liga Perdana Inggeris (EPL) sebelum ini.
“Mungkin prestasi semasa saya bersama Bayern sudah melepasi jangkauan tetapi tidak mahu terlalu berpuas hati. Harapan sudah tentu untuk meledak jaringan sebanyak yang mungkin dan andai rekod dipecahkan, sudah pasti saya gembira,” katanya.
Namun, bekas penyerang Tottenham Hotspur itu mengakui fokus utama adalah untuk membantu Bayern menjuarai trofi pada musim ini tidak kira Bundesliga atau Liga Juara-Juara Eropah (UCL).
“Pasukan ini telah menang trofi liga 11 kali berturut-turut dan sudah pasti kita mahu kekalkan kejuaraan tersebut selain menjulang trofi UCL sekali lagi,” katanya. – AGENSI
https://www.kosmo.com.my/2024/02 ... -rekod-lewandowski/ |
|