CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 18976|Reply: 0

[Wilayah Persekutuan] Hasil bawang tempatan dijangka mula dituai 2026

[Copy link]
Post time 3-2-2024 12:09 PM | Show all posts |Read mode

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Usaha penanaman bawang di negara ini dijangka berupaya memenuhi keperluan 30 peratus daripada permintaan tempatan apabila tanaman itu mengeluarkan hasil besar-besaran mulai 2026 atau 2027.

Pada masa ini, Jabatan Pertanian dan Lembaga Pertubuhan Peladang sedang melakukan projek menggandakan tanaman itu.

Ketua Pengarah Pertanian, Datuk Nor Sam Alwi berkata, setiap hektar tanaman bawang mampu menghasilkan sehingga 200,000 pokok dan penanamannya boleh dilakukan tiga kali setahun.

Katanya, dalam memenuhi matlamat pengurangan import sebanyak 30 peratus, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyasarkan seluas 1,447 hektar kawasan penanaman setahun.



"Setiap penanaman bawang mengambil masa 65 hari dan 24 Januari lalu, kita memulakan projek upskilling tanaman ini di kawasan seluas satu hektar yang terletak di Kampung Ladang Bikam, Sungkai, Perak.

"Melalui projek itu, Jabatan Pertanian bersama agensi lain di bawah KPKM melaksanakan pemantauan agronomi tanaman termasuk pembajaan, sistem pengairan, kawalan penyakit dan perosak dan kesesuaian mekanisasi ladang.

"Selain pemerhatian intensif, peluasan penanaman kawasan baharu akan dilakukan di seluruh negara dan penyampaian teknologi penanaman ini akan dilaksanakan oleh Jabatan Pertanian," katanya kepada BH.

Kelmarin, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) diarah memantau rapat pertumbuhan dan pengeluaran Bawang Merah MARDI BAW-1 bagi memenuhi matlamat pengurangan import bawang.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, dilaporkan berkata, data yang akan diperoleh mampu membantu kementerian merangka pelan penanaman bawang merah tempatan secara besar-besaran.

Katanya, penyelidikan yang dijalankan pada tahun lalu menghasilkan tiga jenis bawang merah iaitu BAW-1, BAW-2 dan BAW-3.

Mohamad berkata, krisis bekalan bawang yang berlaku pada 2020 akibat bencana banjir besar di India menyebabkan kenaikan harga bawang di pasaran lebih 30 peratus daripada RM6 kepada RM8 sekilogram.

Mengulas lanjut mengenainya, Nor Sam berkata, selain fasa upskilling, pada masa sama MARDI sedang menjalankan penyelidikan lanjutan bagi memastikan biji benih dihasilkan berkualiti supaya projek penanaman bawang negara ini berjaya.

Katanya, Malaysia mempunyai daya tarikan gastronomi unik dan kepelbagaian makanan di negara ini memerlukan bawang sebagai ramuan penting masakan.

Oleh itu, katanya, bawang dilihat sebagai komoditi yang strategik untuk dibangunkan dan selama ini negara kita tidak menghasilkan bawang tetapi mengimport sepenuhnya dari India, Belanda dan Thailand.

"Pada 2022 sahaja, jumlah import bawang adalah 685,400 tan dengan nilai RM1.58 bilion.

"Krisis bekalan bawang pada 2020 akibat bencana banjir besar di India mengakibatkan kenaikan harga jualan bawang sebanyak tiga kali ganda.

"Pada tahun lalu pula, India menaikkan duti eksport bawang sebanyak 40 peratus. Pada Disember lalu, India mengumumkan sekatan eksport bawang yang berkuat kuasa sehingga 31 Mac depan," katanya.

Katanya, faktor sedemikian di India menyebabkan harga bawang meningkat sehingga 105 peratus.

"Sehubungan itu, MARDI menjalankan kajian adaptasi penanaman bawang merah bagi pengeluaran dan penghasilan tempatan melalui penghasilan tiga jenis bawang merah iaitu BAW-1, BAW-2 dan BAW-3.

"Dalam hal ini, MARDI berperanan sebagai pusat pengeluar benih, manakala Jabatan Pertanian bertanggungjawab melaksanakan inisiatif penanaman bawang pada skala besar melalui kolabrasi dan usaha sama strategik bersama kerajaan negeri dan usahawan yang berpotensi di kawasan bersesuaian," katanya.

Dalam pada itu, katanya, penanaman bawang bergantung kepada cuaca, iaitu penuaiannya memerlukan cuaca kering untuk mengelakkan umbisi bawang rosak.

"Hasil penyelidikan MARDI mendapati bawang sesuai ditanam di kawasan jenis tanah bris iaitu tanah saliran (beach ridges interspersed with swales), tanah pasir dan tanah mineral.

"Jadi sebagai permulaan, kawasan perintis bawang dilaksanakan di Kampung Ladang Bikam dalam keluasan tiga hektar.

"Kakitangan kita akan menanamkan bawang menggunakan biji benih selain daripada umbisi," katanya.
https://www.bharian.com.my/berit ... ka-mula-dituai-2026
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

23-5-2024 02:05 PM GMT+8 , Processed in 0.431054 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list