BUTTERWORTH: Seorang pesakit buah pinggang tahap akhir didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas tuduhan menerima deposit tanpa lesen berjumlah RM103,635, dua tahun lalu.
Sai Bee Nyean, 59, yang bertongkat sepanjang berada dalam mahkamah, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.
Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa menerima deposit RM103,635 daripada seorang wanita tanpa lesen sah di sebuah premis No 9, Lorong Melor Sintat Garden Off Jalan Raja Uda, di sini antara Mei hingga Ogos 2022.
Dia didakwa mengikut Seksyen 137 (1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 137 ( 2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda sehingga RM50 juta atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak, manakala tertuduh diwakili peguam, Ch'ng Kim Hock yang merayu mahkamah mempertimbangkan jaminan kerana anak guamnya menderita sakit buah pinggang dan perlu kerap jalani rawatan dialisis.
Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan syarat tambahan menyerahkan dokumen perjalanan kepada mahkamah sehingga kes selesai sebelum menetapkan 26 Februari depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.