BUTTERWORTH: Kebocoran besar paip di dasar Sungai Perai berlaku sekali lagi, hari ini.
Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) berkata, petugas sedang berusaha untuk mengepam air melalui saluran paip secara minimum.
Katanya, langkah itu akan membawa kepada gangguan bekalan air kepada kira-kira 200,000 pengguna di Daerah Barat Daya dan beberapa kawasan di Seberang Perai.
"Kejadian ini ialah 'kejadian mendadak' dan bukan gangguan bekalan air berjadual yang dilakukan oleh PBAPP.
"PBAPP telah mengaktifkan pelan respons kecemasan dan akan menyiarkan kemas kini sewajarnya," katanya.
Terdahulu tular satu video 14 saat memaparkan kejadian paip bocor di Sungai Perai.
Kejadian paip bocor di dasar Sungai Perai hari ini kali ketiga berlaku selepas dua kejadian paip bocor dilaporkan pada Disember tahun lalu dan 12 Januari lalu.
Beberapa kejadian itu mendorong Kerajaan Negeri Pulau Pinang melaksanakan kaedah pemasangan paip gantian sementara merentasi Sungai Perai.