View: 21197|Reply: 0
|
[Kelantan]
Pengguna laluan Gua Musang-Kuala Krai berdepan risiko tayar pecah, nahas
[Copy link]
|
|
Keadaan jalan di Jalan Gua Musang-Kuala Krai menyebabkan banyak kenderaan mengalami masalah tayar pecah dan bocor. - Foto NSTP/Paya Linda Yahya
GUA MUSANG: Laluan Gua Musang-Kuala Krai menjadi mimpi ngeri buat pengguna jalan itu apabila terdapat banyak lubang dan kerosakan bermula dari Bandar Gua Musang ke Paloh.
Tinjauan mendapati sepanjang laluan hampir 60 kilometer (km) itu terdapat kerosakan jalan yang menyebabkan tayar kenderaan pengguna pecah dan berlaku kemalangan.
Pengguna, Zulkifli Yahya, 40, berkata dalam kejadian malam Rabu lalu, tayar kenderaannya pecah apabila termasuk dalam lubang di tengah jalan.
Katanya, kerana keadaan gelap dan hujan renyai-renyai dia tidak nampak lubang di laluan terbabit dan tidak menukar tayar sendiri kerana risaukan keselamatan diri.
"Lebih sejam saya terpaksa menunggu sebelum mekanik sampai dalam keadaan jalan yang gelap dan hujan renyai-renyai tambahan pula lokasi terbabit pernah dilaporkan kemunculan gajah liar.
"Ketika itu saya bersama keluarga dan anak yang masih kecil dalam perjalanan pulang ke rumah di Tanah Putih.
"Saya harap pihak berwajib dapat mengambil tindakan segera supaya masalah jalan rosak ini dapat diselesaikan dengan segera kerana boleh menyebabkan kemalangan maut," katanya ketika ditemui di sini.
Bagi Hisyam Ismail, 30, masalah jalan berlubang menyebabkan dia terpaksa menanggung kerugian sehingga lebih RM 1,000 apabila dua tayar dan rim kenderaannya rosak.
"Apabila tayar rosak dan rim kereta bengkok menyebabkan saya menanggung kos yang sangat tinggi.
"Sebelum ini saya sudah nampak dalam media sosial pengguna yang mengeluh mengenai keadaan jalan rosak sehingga menyebabkan tayar bocor.
"Namun akhirnya saya sendiri yang menjadi mangsa walaupun sudah berhati-hati. Apabila hujan, pengguna tidak nampak jalan yang berlubang kerana lubang dipenuhi air hujan," katanya.
Sementara itu, bagi pemilik bengkel Aszeri Awang, 35, sepanjang tempoh dua minggu bermula cuti sekolah, lebih 60 kenderaan mengalami masalah tayar bocor ketika melalui jalan terbabit.
"Kini saya terpaksa beroperasi selama 24 jam setiap hari untuk membantu mereka yang mengalami masalah tayar bocor sepanjang laluan terbabit.
"Kebanyakan kenderaan yang mengalami masalah tayar bocor adalah di laluan Paloh, Chiku dan Kem Semur," katanya yang mengusahakan kedai tayar sejak lebih dua tahun.
https://www.bharian.com.my/berit ... -risiko-tayar-pecah |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|