Bachok: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedang mengumpul maklumat mengenai golongan petani yang terkesan akibat banjir yang berlaku baru-baru ini.
Menterinya Datuk Seri Mohamad Sabu berkata selepas maklumat dikumpul, pihaknya akan memperincikan jenis bantuan yang boleh disalurkan.
"Pegawai-pegawai kita ada di setiap daerah untuk ambil maklumat.
"Itu rutin terutama di Pantai Timur pada setiap kali banjir berlaku," katanya pada sidang media, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata setakat ini banjir yang berlaku baru-baru ini, tidak menjejaskan bekalan makanan negara.
"Setakat ini bekalan mencukupi lagipun sekarang baru 8 Disember kalau nak tahu kesan banjir selalunya kita tunggu sampai pertengahan Januari," katanya.