|
Seorang wanita nyaris tertelan bilah pisau cukur yang terdapat di dalam oat segera ketika memakannya.
Sin Chiew Daily melaporkan, wanita berusia 40 tahun itu, yang tidak mahu namanya disiarkan, membeli sebungkus oat segera campuran dari pasar raya tempatan.
Namun, makan malamnya terganggu selepas dia menemui objek aneh ketika sedang mengunyah.
Foto: FB
"Ketika makan separuh mangkuk oat itu, saya merasakan ada objek keras di dalam mulut saya.
"Apabila saya mengeluarkannya, ternyata ia adalah pisau cukur," ceritanya.
Pisau cukur yang berukuran kira-kira satu sentimeter (cm) panjang, turut dirakam oleh wanita berkenaan sebagai bukti.
Dia kemudian memuat naik video di laman sosial dan melaporkan penemuan mengejutkan itu di laman Facebook syarikat oat tersebut.
Syarikat itu segera memberi maklum balas dan meminta butiran pembeliannya untuk siasatan lanjut.
Walaupun mendapat maklum balas awal, wanita itu mendakwa tindakan atau komunikasi lanjut masih belum diterima daripada syarikat berkenaan. -CARI
Sumber: mStar |
|