|
PASUKAN medik memberi bantuan kecemasan sebelum Dwamenadia disahkan meninggal dunia. FOTO Agensi
Tirana: Bekas penyerang Ghana, Raphael Dwamena meninggal dunia selepas terkena serangan jantung ketika perlawanan Liga Albania antara KF Egnatia dan FK Partizani, menurut kenyataan media oleh Persekutuan Bolasepak Albania.
"Paramedik di atas padang membawanya ke hospital, di mana dia meninggal dunia pada usia 28 tahun," kata badan induk bola sepak Albania itu.
Untuk rekod, Dwamena meraih lapan caps untuk Ghana dan pernah dianggap sebagai salah seorang bintang yang semakin meningkat di negara itu tetapi menghadapi beberapa masalah jantung sepanjang kariernya.
Pada 2017, penyerang itu tidak dapat menyertai Brighton kerana masalah kesihatan jantung dan dia akhirnya berpindah ke Sepanyol.
Empat tahun kemudian, pemain Ghana itu rebah semasa perlawanan di Austria antara pasukannya, Blau-Weiss Linz dan Hartberg tetapi pulih dan meneruskan kariernya.
Sebelum ini, Dwamena sudah menjalani pembedahan jantung pada 2020 dan dipasangkan defibrilator automatik dijantungnya yang bertujuan untuk membolehkannya meneruskan karier dalam bola sepak.
Selepas pembedahan itu, Dwamena bermain di liga Denmark, Austria dan Switzerland sebelum menyertai kelab Albania KF Egnatia pada Januari 2023.
Dwamena adalah penjaring terbanyak ketika ini dalam liga Albania menerusi sembilan gol.
Bekas kelabnya di Switzerland, FC Zurich memaparkan gambar hitam putih Dwamena di laman web dan memberi penghormatan kepada pemain itu.
"Rehatlah Raphael Dwamena! Anda akan sentiasa menjadi milik kami!", kata FC Zurich.
Untuk mengenang Dwamena, Persekutuan Bolasepak Albania memutuskan untuk menangguhkan semua perlawanan liga bagi memberi penghormatan terakhir buat mendiang.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... ena-meninggal-dunia |
|