|
Bapa Luis Diaz enggan tinggalkan Colombia
Luis Manuel Diaz, bapa penyerang Liverpool, Luis Diaz, kelihatan sebak ketika menceritakan pengalamannya diculik pada sidang akhbar di kediamannya di Barrancas, Colombia semalam. – Foto AFP
BOGOTA: Bapa pemain bola sepak Liverpool, Luis Diaz berkata semalam beliau akan tetap tinggal di Colombia selepas diculik hampir dua minggu oleh gerila, dipenuhi dengan malam yang sukar untuk lena dan kepenatan menunggang kuda menerusi kawasan pergunungan.
Luis Manuel Diaz, 58, dibebaskan Khamis lalu oleh kumpulan berhaluan kiri National Liberation Army (ELN) 12 hari selepas beliau dijadikan tebusan pada 28 Oktober di Barrancas, kawasan luar bandar tempat beliau tinggal di wilayah utara La Guajira.
Penculikan Diaz menjejaskan seketika rundingan damai antara ELN dan kerajaan presiden berhaluan kiri Gustavo Petro, yang cuba menamatkan konflik dalaman selama enam dekad Colombia yang menyaksikan lebih 450,000 orang terkorban.
Kerajaan dan ELN memulakan gencatan senjata selama enam bulan bermula Ogos lalu.
"Impian saya adalah untuk terus tinggal di bandar ini kerana saya mempunyai seluruh keluarga di sini," kata Diaz pada satu sidang akhbar.
"Kerajaan memberikan saya sokongan yang amat kuat dan hebat. Saya yakin dan percaya keselamatan saya terjamin untuk terus tinggal menetap di Barrancas."
Diaz menceritakan pengalamannya diculik kepada wartawan semalam, yang mana penculik menasihatinya supaya bertenang, katanya.
"Terlalu banyak menunggang kuda yang memenatkan, terlalu banyak gunung dilalui, hujan," kata Diaz, mengimbau "hampir 12 hari tidak boleh tidur nyenyak."
"Sekalipun layanan bagus, saya tetap tidak berasa selesa," katanya. – REUTERS
Sumber:https://www.bharian.com.my/sukan ... tinggalkan-colombia
|
|