CHANGLUN: Hujan lebat melebihi dua jam menyebabkan laluan di kawasan Taman Resak dan Kilometer 13.6 Lebuhraya Utara Selatan berhadapan Taman Jelutong di Mukim Temin, dilanda banjir kilat.
Berikutan itu, banyak kenderaan awam tidak dapat melalui kawasan ini disebabkan air naik terlalu cepat manakala kenderaan berat meneruskan perjalanan masing-masing tetapi perlahan.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kubang Pasu, Kapten (PA) Mohd Adenin Suhaimi, berkata hujan lebat bermula jam 6 petang itu menyebabkan kawasan laluan ditenggelami air setinggi 0.3 meter.
Beliau berkata, punca kejadian adalah disebabkan limpahan air secara mengejut dan berlebihan.
"Bagaimanapun tiada mangsa yang dipindahkan setakat ini dan tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka.
"Namun anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kubang Pasu masih melakukan pemantauan di kawasan terjejas yang dinaiki air," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mohd Adenin berkata, pihaknya turut menasihatkan penduduk supaya berpindah ke PPS berdekatan jika keadaan semakin buruk.