Buruh Indonesia 23 tahun guna kad MyPr palsu
Oleh Siti Aminah Mohd Yusof - November 10, 2023 @ 12:35pm [email protected]
Tertuduh Suardi, 49, warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara selama 10 bulan dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Balik Pulau di sini, hari ini, atas kesalahan memiliki dan menggunakan kad pengenalan merah atau Pemastautin Tetap (MyPR) palsu sejak 23 tahun lalu. - Foto MIKAIL ONG
BALIK PULAU: Buruh binaan warga Indonesia dihukum penjara 10 bulan dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas kesalahan memiliki dan menggunakan kad Pemastautin Tetap (MyPR) palsu sejak 23 tahun lalu.
Hakim Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin menjatuhkan hukuman itu terhadap Suardi, 49, bermula tarikh ditahan kelmarin selepas dia membuat pengakuan bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mahkamah turut menetapkan hukuman penjara 12 bulan jika tertuduh gagal membayar denda tersebut.
Tertuduh didapati dengan sengaja memiliki dan menggunakan kad MyPR palsu milik seorang lelaki warga Indonesia lain berusia 64 tahun.
Kesalahan itu dilakukan tertuduh di sebuah kilang di Bayan Lepas antara 8.30 pagi hingga 2 petang kelmarin.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Peraturan 25 (1) (e) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Mohd Samsul Ariffin Ahmad Zawawi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Ketika prosiding, Mohd Samsul Ariffin memaklumkan tertuduh mengaku membeli MyPR palsu itu daripada rakannya di Kuala Lumpur pada 2000 bertujuan mendapatkan kad perakuan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia untuk bekerja sebagai buruh binaan.
|