|
Pemain Arsenal, Leandro Trossard (kanan) menewaskan penjaga gol Sevilla, Marko Dmitrovic bagi gol pertama pasukannya pada aksi Liga Juara-Juara di Stadium Emirates, London awal pagi tadi. – Foto REUTERS
LONDON: Arsenal semakin hampir melayakkan diri ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara selepas gol Leandro Trossard dan Bukayo Saka memastikan kemenangan 2-0 ke atas Sevilla awal pagi tadi.
Anak buah Mikel Arteta kembali menghidupkan peluang selepas dua kekalahan berturut-turut di pertandingan domestik susulan jaringan Trossard pada babak pertama dan gol Saka selepas rehat di Stadium Emirates.
Dengan tiga kemenangan daripada empat dalam Kumpulan B, Arsenal menghuni tangga teratas, empat mata di depan pasukan tangga kedua PSV Eindhoven.
Kelab utara London itu boleh memastikan layak ke pusingan 16 terakhir jika meraih sekurang-kurangnya satu mata daripada baki perlawanan di laman sendiri menentang Lens dan di PSV.
Satu-satunya kebimbangan Arteta adalah Saka yang mengalami kecederaan selepas dilihat terseliuh buku lalinya pada akhir babak perlawanan.
Pemain Arsenal, Bukayo Saka (kanan) menyumbat gol kedua mengatasi penjaga gol Sevilla, Marko Dmitrovic pada aksi Liga Juara-Juara di Stadium Emirates, London awal pagi tadi. – Foto REUTERS
Saka menjadi mangsa terjahan keras sebelum kecederaan itu, namun Arteta berkata bintang England itu perlu membiasakan diri dengan layanan keras pemain lawan.
"Dia hanya disepak. Harapnya ia tidak serius. Saya berasakan dia akan OK," katanya.
"Ia berlaku apabila pemain sayap berdepan pertahanan lawan. Saya tidak fikir ia akan mengubah caranya bermain. Dia perlu membiasakan diri dengannya!"
Menewaskan Sevilla satu cara terbaik untuk melupakan kekecewaan apabila kalah di tangan West Ham dalam Piala Liga dan berakhirnya permulaan tanpa kalah mereka dalam Liga Perdana Inggeris di Newcastle.
"Kami bermain secara agresif dan komited. Sekalipun kami kehilangan bola, pemain kami akan berusaha untuk merampasnya semula. Itulah sebabnya kami menang. Sukar di Eropah untuk menguasai dengan cara yang kami lakukan." – AFP
https://www.bharian.com.my/sukan ... pusingan-kalah-mati |
|