|
Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun lemah dan tidak bermaya, ditemukan di kawasan semak samun dekat Kabupaten Sampit, Kalimantan Tengah, Indonesia pada Selasa.
Menerusi video yang tular kanak-kanak berbaju merah itu ditemukan terbaring dalam keadaan lesu dengan matanya terbuka.
Dia hanya baring dan mendiamkan diri ketika ditanya oleh penduduk sekitar yang menjumpainya.
“Anak siapa ini Ya Allah?” tanya wanita yang merakam video tersebut.
Berdasarkan satu lagi video yang dikongsikan, difahamkan, kelihatan kanak-kanak itu didukung oleh seorang pegawai perubatan dan dibawa ke hospital menggunakan ambulans untuk diberi rawatan lanjut.
Anak kecil itu dilaporkan mempunyai masalah kekurangan zat makanan, selain terdapat kesan melecet pada badan kecilnya.
Setelah berita mengenai kejadian itu tular, seorang wanita pada Rabu tampil mengaku bahawa kanak-kanak perempuan itu adalah anaknya yang hilang sejak dua tahun lalu.
Menurut Ketua Daerah, Irawati, dia secara tidak sengaja menemui wanita berkenaan ketika melawat budak itu di hospital.
Irawati sempat melihat di depan matanya sendiri ibu berkenaan melihat tanda lahir kanak-kanak yang didakwa sebagai anaknya itu.
"Jika dilihat dari gambar anaknya yang hilang dua tahun lalu, dengan tanda lahir di bahagian punggungnya, memang ada iras-iras.
"Namun kita masih belum dapat pastikan betul-betul kerana foto tersebut diambil semasa anaknya dalam keadaan sihat, sedangkan budak ini sekarang agak kurus kerana mengalami kekurangan zat," katanya.
Dia bagaimanapun menyarankan agar kedua-duanya membuat ujian asid deoksiribonukleik (DNA) setelah budak itu kembali pulih bagi memastikan kesasihan dakwaan tersebut. —CARI
Sumber: Majoriti
|
|