|
Ahli Jawatankuasa (AJK) Masjid Setia Alam menubuhkan Skuad Nahi Mungkar atau dikenali sebagai Skuad Pencegah Maksiat sejak 13 tahun lalu.
Menurut pengerusi skuad yang juga merupakan bendahari masjid, Tengku Ibrahim Tengku A Samad Shah, skuad dianggotai 12 ahli kariah itu ditubuhkan ketika rumah ibadah itu masih beroperasi sebagai surau pada 2010.
Ia ditubuhkan bertujuan mencegah kemungkaran dengan mempunyai van khas yang diinfakkan oleh orang perseorangan.
Foto: Utusan
“Pada peringkat awal, rondaan dibuat sebanyak empat kali seminggu bermula dari pukul 10.30 malam dan berakhir hingga 3.30 pagi.
“Tugas kami hanya menegur, menasihati dan bukan menghukum mereka yang terjebak dengan maksiat, gejala sosial serta kelakuan tidak bermoral khususnya dalam kalangan remaja,” katanya.
Berkongsi pengalaman melakukan rondaan, squad mereka pernah bertemu dengan dua lelaki berbogel di dalam kereta.
“Kami pernah jumpa dua lelaki Cina berbogel di dalam kereta, kes khalwat, tak berpuasa di bulan Ramadan, isteri berzina dengan lelaki lain dan kes jual dadah serta menemui sekumpulan pelajar Melayu yang selamba meneguk arak di kawasan taman.
Bila terserempak dengan kami, ramai yang lari lintang pukang sedangkan tujuan kami lebih pada menegur, mendidik dan menasihati mereka supaya tidak melakukan maksiat,” kongsinya.
Untuk pengetahuan, operasi juga turut dilakukan hasil aduan orang awam.
Rondaan dilakukan sekitar kawasan tasik, taman, tempat sunyi, ruang parkir dan rumah kediaman berdekatan.
Skuad berkenaan turut mendapat kerjasama daripada Balai Polis Komuniti Setia Alam dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). -CARI
Sumber: Utusan |
|