KUALA LUMPUR: Peneraju penyelesaian rantaian bekalan global, AIT Worldwide Logistics membuka dua pejabat baharunya di Asia Tenggara iaitu di Pulau Pinang dan Singapura.
Penambahan dua pejabat baharu terbabit membolehkan syarikat logistik berpangkalan di Chicago, Amerika Syarikat (AS) itu meningkatkan jejak geografinya ke enam negara di Asia.
Pengembangan operasi syarikat yang memiliki pengalaman lebih 40 tahun itu dapat menyokong keperluan pelanggan yang mempelbagaikan sumber komponen dan barangan siap.
Ketua Pegawai Perniagaan AIT Worldwide Logistics, Greg Weigel, berkata kemudahan baharu itu adalah contoh terkini kebolehsuaian dan fleksibiliti syarikat sebagai tindak balas kepada perubahan permintaan pelanggan di rantau ini.
"Penubuhan pasukan di Malaysia dan Singapura akan menyokong perniagaan AIT Worldwide Logistics yang teguh di Asia Tenggara, sambil memperkukuhkan lagi hubungan dengan rakan kongsi tempatan.
"Kehadiran AIT Worldwide Logistics yang semakin meluas dapat membantu pelanggan mengurangkan risiko dengan menerima pelbagai pilihan penyumberan yang lebih luas dalam rantaian bekalan mereka," katanya.
Pengarah Serantau AIT Worldwide Logistics bagi Singapura, Malaysia dan Thailand, Siau Hwee Tan akan menyelia pejabat baharu di Pulau Pinang dan Singapura.
Beliau akan mengemukakan laporan kepada Naib Presiden Kanan Asia AIT Worldwide Logistics, Wilson Lee.
Menurut Hwee Tan, penubuhan dua pejabat baharu itu akan membolehkan syarikat menyediakan perkhidmatan penghantaran barang yang komprehensif dengan tumpuan utama pada eksport dan import menerusi udara serta laut.
"Sektor pembuatan berkembang pesat di Asia Tenggara, terutamanya di Malaysia, dan pakar subjek kami di kedua-dua lokasi yang baru dibuka sudah pun memenuhi keperluan pelanggan dalam sektor automotif, perindustrian dan teknologi.
"AIT Worldwide Logistics juga memiliki rangkaian global yang mantap untuk menyokong keperluan penghantaran khas bagi segmen peruncitan pengguna, logistik makanan dan sains hayat.
"Justeru, kami berada pada kedudukan yang baik untuk menawarkan penghantaran yang lancar untuk pelanggan dalam industri berkaitan," katanya.
Pejabat AIT Worldwide Logistics di Malaysia dan Singapura terletak berhampiran dengan lapangan terbang dan pelabuhan utama.
Kemudahan baharu itu menyertai lebih 12 pejabat AIT Worldwide Logistics di seluruh Asia dan lebih daripada 110 pejabat di seluruh dunia.
Syarikat itu menyasarkan untuk membuka kemudahan tambahan di rantau ini tahun depan.
AIT Worldwide Logistics ialah syarikat logistik global yang membantu syarikat berkembang dengan meluaskan akses kepada pasaran di seluruh dunia di mana mereka boleh menjual dan/atau mendapatkan bahan mentah, komponen dan barangan siap mereka.
Peneraju penyelesaian rantaian bekalan itu bergantung kepada pendekatan perundingan untuk membina rangkaian global dan perkongsian yang dipercayai dalam hampir setiap industri, termasuk aeroangkasa, automotif, runcit pengguna, makanan, kerajaan, penjagaan kesihatan, teknologi tinggi, industri serta sains hayat.