GEORGETOWN: Pejabat Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang (PP) tidak pernah mengeluarkan arahan khusus menghalang mana-mana individu menyampaikan kuliah di masjid atau surau di negeri ini.
Timbalan Ketua Menteri I PP, DatukDr Mohamad Abdul Hamid berkata setiap larangan adalah berdasarkan garis panduan dan pekeliling dikeluarkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAIPP).
"Jadi, hanya pihak masjid dan pejabat agama daerah yang mengetahui larangan penceramah atau individu berkaitan dengan arahan pekeliling itu," katanya ketika dihubungi hari ini.
JHEAIPP sebelum ini mengeluarkan satu pekeliling penstrukturan semula kuliah dan penganjuran aktiviti ilmu di masjid dan surau negeri ini.
Berdasarkan pekeliling dikeluarkan 23 Oktober lalu itu, Pengarah JHEAIPP Datuk Zulkifli Rashid memaklumkan semua penceramah atau pengkuliah yang hendak menyampaikan pengajaran di semua masjid dan surau di negeri ini mesti memiliki tauliah dikeluarkan pihak berkuasa agama negeri.
Bagaimanapun, dalam masa sama merek yang dijemput itu tidak mempunyai kontroversi terutama berkaitan akhlak, masalah khilafiah, politik kepartian dan seumpamanya.
"Usaha itu dilakukan JHEAIPP bagi memastikan aktiviti majlis ilmu di negeri ini bebas daripada sebarang unsur yang boleh mendatangkan kekeliruan dan perpecahan dalam kalangan masyarakat serta membendung sebarang unsur negatif yang dibawa dari luar serta tidak sesuai dengan masyarakat di negeri ini.
"Selain itu, ia juga bagi memastikan semua masjid dan surau sentiasa fokus kepada budaya ilmu sebenar yang mengutamakan kualiti dan impak positif kepada jemaah dan masyarakat Islam," katanya menerusi pekeliling berkenaan.
Terdahulu tular satu rakaman video memaparkan pendakwah bebas, Datuk Mohd Kazim Elias atau Ustaz Kazim memberi penjelasan kepada jemaah di Masjid Al-Ittifaq Sungai Nibong Kecil di sini, semalam, mengenai penangguhan kuliah berikutan menerima arahan daripada pihak berkenaan.
Menerusi penjelasan itu, katanya, kuliah berkenaan ditangguhkan kerana beliau tidak dibenarkan menyampai kuliah serta mengambil keputusan bagi tidak lagi mengajar di Pulau Pinang bermula semalam.