|
Pemain pertahanan Liverpool, Andy Robertson (kiri) mengalami kecederaan bahu ketika tugasan antarabangsa bersama Scotland. – Foto X Andy Robertson
LONDON: Pemain pertahanan Liverpool, Andy Robertson selamat menjalani pembedahan bahu susulan kecederaan dialaminya ketika beraksi dengan Scotland.
Robertson mengalami kecederaan itu apabila berlaga dengan penjaga gol Sepanyol, Unai Simon ketika Scotland kalah pada aksi kelayakan Euro 2024 dua minggu lalu.
Pemain pertahanan kiri itu, yang beraksi lapan perlawanan liga dan menjaringkan satu gol buat Liverpool musim ini, digantikan oleh Kostas Tsimikas bagi aksi jiran tetangga Merseyside menentang Everton Sabtu lalu.
Dia berdepan kemungkinan berehat lama dan bos Liverpool, Jurgen Klopp gagal memberitahu tarikh tepat dia boleh kembali beraksi.
"Robbo menjalani pembedahan dan semuanya berjalan lancar, jadi proses pemulihan akan bermula selepas dia sedar," kata Klopp kepada wartawan semalam.
"Saya rasa ia dijalankan pagi ini. Kami tidak tahu berapa lama masa perlu diambilnya untuk memulihkan diri, tetapi langkah pertama sudah dilakukan, jadi ia bagus."
Klopp mungkin membuat rombakan besar bagi kunjungan Toulouse ke Anfield dalam aksi Kumpulan E Liga Europa awal pagi esok.
Bagaimanapun Klopp tidak mahu mengambil mudah cabaran kelab Perancis itu sekalipun mereka jarang beraksi di Eropah. – AFP
https://www.bharian.com.my/sukan ... ani-pembedahan-bahu |
|