View: 983|Reply: 0
|
Maguire, Onana wira United
[Copy link]
|
|
ONANA diraikan rakan sepasukan selepas menyelamatkan sepakan penalti. FOTO AFP
Manchester, United Kingdom: Andre Onana dan Harry Maguire muncul wira Manchester United ketika menewaskan FC Copenhagen 1-0 dalam aksi Liga Juara-Juara (UCL) di Old Trafford, awal pagi tadi.
Pertahanan tengah Maguire yang sering dikritik menanduk masuk gol kemenangan ketika permainan berbaki 18 minit sebelum Onana menyelamatkan penalti Jordan Larsson pada masa kecederaan.
Gergasi Inggeris itu tewas dua aksi pembukaan peringkat kumpulan UCL buat kali pertama dalam sejarah kelab tetapi mereka bangkit untuk kembali bersaing dengan kemenangan penting itu.
Sebelum bermula perlawanan, upacara mengenang legenda kelab, Bobby Charlton, 86, yang meninggal dunia Sabtu lalu diadakan.
AKSI Maguire meraikan jaringan.
AKSI Maguire meraikan jaringan.
"Jaringan yang amat bermakna bagi saya," kata Maguire kepada TNT Sports. "Kami sangat memerlukan kemenangan. Penyelamatan yang hebat dan kejayaan ini kami tujukan kepada Sir Bobby dan keluarganya."
Pengurus United, Erik Ten Hag menggesa pemainnya menjadikan Charlton inspirasi mereka selepas permulaan hambar musim ini tetapi jurulatih dari Belanda itu kecewa dengan aksi longlai pada babak pertama.
Juara Denmark itu hampir di depan hanya selepas lima minit perlawanan namun rembatan Diogo Goncalves terkena tiang manakala United bergelut menembusi pertahanan lawan.
Onana yang sebelum ini melakukan kesilapan ketika kekalahan United di tangan Bayern Munich dan Galatasaray bangkit dengan prestasi terpuji pada babak kedua.
Dia menyelamatkan rembatan Lukas Lerager daripada menembusi gawang ketika Rasmus Hojlund dan Marcus Rashford melepaskan beberapa peluang.
Sebaliknya Maguire yang muncul wira apabila tandukan kencangnya menembusi gawang selepas mendapat hantaran Christian Eriksen ketika permainan berbaki 18 minit.
"Ketika anda tidak beraksi dengan baik, anda dikritik tetapi ia menjadi penyuntik semangat dan saya bangga dengan cara saya tanganinya sejak enam atau 12 bulan lalu," kata Maguire.
"Saya diberikan peluang dan mahu membantu pasukan ke tempat sepatutnya."
United hampir berputih mata selepas Scott McTominay mengasari Mohamed Elyounoussi pada lewat masa kecederaan namun rembatan Larsson diselamatkan Onana yang menggemuruhkan stadium.
"Saya hanya menjalankan tugas," kata Onana. "Kami adalah Manchester United. Kami kelab besar, pemain yang hebat dan kami perlu teruskan momentum ini. Saya tak ragu kami mampu melepasinya."
Kemenangan membolehkan United memintas Copenhagen di tangga ketiga Kumpulan A dan hanya satu mata di belakang Galatasaray manakala Bayern kekal selaku pendahulu selepas menewaskan Galatasaray 3-1.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... e-onana-wira-united |
|
|
|
|
|
|
| |
|