PEMILIK biri-biri jangok mandikan ternakan 3 kali sehari selain sapukan minyak pada tanduk haiwan.
Kecantikan haiwan itu dinilai dari segi kekemasan tanduk, ekor, muka, telinga, warna, capong sawat, batu sawat (kemaluan), ekor, saiz, kebersihan dan gaya.
Tuah ternyata menyebelahi Awe Putih apabila ia berjaya memenangi tempat pertama untuk kategori Salin 6 (merujuk kepada usia biri-biri).
Bapa kepada empat cahaya mata itu berkata, Awe Putih yang berusia dua tahun itu sudah kerap memenangi pertandingan dan jika tidak bergelar juara sekalipun, pasti tempat kedua atau ketiga sentiasa dalam tangan.
Katanya, dia membeli Awe Putih itu dua tahun lalu dan sejak hari pertama, ia sudah dijaga rapi kerana ingin 'groomingnya' menjadi juara pertandingan biri-biri jangok.
"Untuk menjinakkan biri-biri tidak memerlukan masa yang lama dan paling lama sekalipun hanyalah seminggu sahaja kerana pemilik perlu sentiasa berada dengan biri-biri peliharaan mereka selain selalu menggosok serta membelainya.
"Seperti biri-biri saya yang lain, Awe Putih akan dimandikan tiga kali sehari dengan menggunakan sabun dan syampu manakala tanduk juga akan dikilatkan dengan minyak masak selain kuku juga perlu diteliti satu persatu demi kecantikan dan kesihatan mereka," katanya.
Mohd Yusuf yang berasal dari Kampung Landak, Kota Bharu, berkata, ramai yang beranggapan bahawa dia terpaksa mengeluarkan kos besar untuk penjagaan semua biri-birinya itu namun katanya perbelanjaan tidaklah sebanyak mana, sama seperti membela biri-biri lain.
|