![](https://assets.bharian.com.my/images/articles/photo1697520869_1697527325.jpg)
Muhammad Daniel (kanan) menyerahkan memorandum kepada Timbalan Pengarah JPJ Pulau Pinang, Shahrul Azhar Mat Dali (dua dari kiri) di hadapan bangunan JPJ Pulau Pinang di Seberang Jaya. - NSTP/DANIAL SAAD
BUTTERWORTH: Persatuan Pengusaha-Pengusaha Kecil Kenderaan Perdagangan Wilayah Utara merayu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mempertimbang tujuh tuntutan dikemukakan bagi mengurangkan beban ditanggung ahlinya yang membabitkan golongan pemandu lori.
Pengerusinya, Muhammad Daniel Abdullah, berkata tuntutan itu dikemukakan kerana pemandu lori kini sudah tersepit untuk keluar mencari rezeki memandangkan kerap ditahan JPJ yang melakukan operasi penguatkuasaan bagi pemeriksaan lebihan muatan.
Katanya, mereka tiada pilihan lain selain membawa muatan lebih berikutan syarikat tidak mahu menaikkan kadar sewa, namun masih lagi memastikan muatan tidak melepasi had pagar kenderaan.
"Memang sebelum ini pun ada operasi begini, namun akhir-akhir ini tindakan lebih drastik oleh JPJ sampai ada lori yang kena sita, dipotong mata demerit dan ada lesen kena gantung.
"Jadi kami pun sudah tak tahu nak buat apa, jadi mengambil langkah menghantar tujuh tuntutan antaranya memohon JPJ melihat semula tindakan sedemikian," katanya selepas menghantar memorandum mengandungi tuntutan itu di luar perkarangan JPJ Pulau Pinang, hari ini.
Memorandum diserahkan kepada kepada Timbalan Pengarah JPJ negeri, Shahrul Azhar Mat Dali dengan disaksikan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San.
Kira-kira 1,000 pemandu lori seluruh Pulau Pinang dan Kedah turun membuat bantahan secara aman bagi merayu tuntutan mereka dipertimbangkan.
![](https://assets.bharian.com.my/images/articles/photo1697520869_%281%29_1697527327.jpg)
Sebahagian kira-kira 1,000 pemandu lori Kedah dan Pulau Pinang turun membuat bantahan secara aman bagi merayu tuntutan mereka dipertimbangkan di JPJ Pulau Pinang. - NSTP/ DANIAL SAAD