Pestabola Merdeka: Ultras Malaya ketuai solidariti buat Palestin
PENYOKONG Harimau Malaya yang hadir ke Stadium Nasional Bukit Jalil turut menzahirkan solidariti buat Palestin yang kini dihimpit konflik dengan Israel. - FARIZ RUSADIO
KUALA LUMPUR – Bendera Palestin berkibar megah di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Itu yang boleh menggambarkan suasana di perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil selepas penyokong Harimau Malaya tampil menyatakan solidariti kepada Palestin yang kini dihimpit konflik perang dengan Israel.
Sebelum kehadiran kumpulan Ultras Malaya, ribuan peminat mula membanjiri stadium seawal jam 4 petang dan gelagat ‘Ekor Harimau Malaya’ sebelum aksi Pestabola Merdeka menentang India yang dijadualkan pada jam 9 malam ini jelas menghidupkan suasana.
RIBUAN penyokong Harimau Malaya mula membanjiri perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil seawal jam 4 petang. – FARIZ RUSADIO
Sambutan peminat cukup luar biasa memandangkan ini adalah aksi pertama Harimau Malaya di venue ini selepas jalani kerja-kerja penukaran rumput jenis Zeon Zoysia.
Seperti biasa, kumpulan Ultras Malaya sentiasa mencuri perhatian apabila turut menyanyikan lagu sokongan kepada Palestin.
ULTRAS Malaya turut menyanyikan lagu khas untuk menzahirkan sokongan kepada Palestin yang kini dihimpit konflik dengan Israel. – FARIZ RUSADIO
“Semua orang tahu Pestabola Merdeka adalah pertandingan yang penuh sejarah dan faktor padang baharu juga antara tarikan utama kepada kemeriahan kali ini.
“Suasana di stadium cukup meriah dan selain menyokong pasukan negara, ini juga jadi peluang buat peminat untuk meluahkan sokongan kepada Palestin,” kata penyokong negara, Mohd Nor Asri Yaacob.
Untuk rekod setakat jam 6 petang tadi, 43,645 tiket perlawanan itu sudah terjual. – KOSMO! ONLINE