![](https://assets.bharian.com.my/images/articles/dataran13_1697183390.jpg)
Kira-kira 1,000 umat Islam berkumpul di Dataran Masjid Alwi, Kangar menunjukkan sokongan kepada perjuangan rakyat Palestin. - Foto BH/AIZAT SHARIF
KANGAR: Negara dalam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mesti bersatu menyelamatkan Palestin daripada kezaliman rejim zionis dalam perang dengan Israel.
Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, berkata umat Islam seluruh dunia bertanggungjawab menghentikan penindasan di Gaza.
"Kita mahu melihat supaya tanah Palestin dan masjid suci ketiga umat Islam, Masjidil Aqsa dikembalikan semula kepada Palestin.
"Kita meminta umat Islam di seluruh dunia bersatu dan tidak lagi berdolak-dalik menyatakan sokongan kepada Palestin," katanya di sini hari ini.
Beliau ditemui pemberita selepas Himpunan Aman Solidariti Bersama Rakyat Palestin di Dataran Masjid Alwi di sini hari ini.
Terdahulu, Mohd Shukri bersama Mufti Perlis, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin serta kira-kira 1,000 umat Islam menunjukkan sokongan kepada rakyat Palestin dengan menyampaikan ucapan mengutuk penindasan yang dilakukan oleh rejim Zionis.
![](https://assets.bharian.com.my/images/articles/hjkhjkjhjjjjjj_1697183394.jpg)
Penduduk Gaza meninggalkan kediaman hari ini bagi mengelak bedilan Israel. - Foto REUTERS