|
MATTHEW Davies. FOTO PERSATUAN BOLASEPAK MALAYSIA
Kuala Lumpur: Tonggak pertahanan skuad Harimau Malaya, Matthew Davies akui teruja untuk beraksi di atas padang baharu di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) menjelang aksi berdepan India dalam saingan Pestabola Merdeka, malam esok.
Keterujaan itu katanya turut dirasai seluruh barisan pemain negara yang mahu memperagakan aksi terbaik di depan ribuan penyokong Malaysia nanti.
"Kami sangat teruja kembali bermain di SNBJ dan dihadapan penyokong sendiri. Terima kasih kepada TMJ (Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim) kerana inisiatif beliau menukar padang baharu buat kami," katanya pada sidang media praperlawanan hari ini.
Dalam perkembangan sama, pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) itu akui tidak mempunyai banyak maklumat tentang kekuatan India.
Namun selepas menjalani latihan dan sesi penerangan bersama barisan kejurulatihan di bawah kendalian Kim Pan-gon, banyak input baru diraih.
"Saya tidak mengetahui banyak perkara mengenai pasukan India, tetapi barisan kejurulatihan diketuai Kim Pan-gon melakukan tugas yang baik dalam memberikan maklumat mengenai pasukan lawan.
"Kami menghormati pasukan India kerana mereka berada di ranking lebih tinggi.
"Sama seperti yang jurulatih katakan bahawa India bermain secara agresif dan pantas, jadi ia akan menjadi perlawanan yang sukar," katanya.
Berdasarkan kedudukan ranking, skuad The Blue Tigers kini berada di tangga ke-102 dunia manakala skuad Harimau Malaya di kedudukan 134 dunia.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... si-di-padang-baharu |
|