GEORGETOWN: Tiga Ketua UMNO bahagian dilantik sebagai Ahli Majlis dalam Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), selepas 15 tahun tiada wakil parti itu dalam pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini.
Ketua UMNO Bahagian Jelutong, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman, dilantik sebagai Ahli Majlis MBPP.
Dua lagi adalah Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan yang juga Ketua Penerangan UMNO Pulau Pinang, Datuk Mohd Noor Ahmad dan Ketua UMNO Bahagian Tasek Gelugor merangkap Ahli Jawatankuasa Perhubungan UMNO negeri, Datuk Omar Hamid dilantik sebagai Ahli Majlis MBSP.
Abdul Razak, 54, yang yang berpengalaman sebagai eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Mohd Noor, 64, masing-masing pernah berkhidmat sebagai Ahli Majlis MBPP dan MBSP ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN) kira-kira 15 tahun lalu.
Sementara itu, Omar, 64, yang juga seorang peguam adalah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Berangan, berkata beliau bersyukur diberi kepercayaan memikul tanggungjawab baharu itu buat pertama kali.
"Selama tiga dekad berkecimpung dalam bidang politik dan guaman saya yakin boleh menggunakan pengalaman ini untuk berkhidmat secara berkesan sebagai Ahli Majlis," katanya pada sidang media di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) di sini, hari ini.
Tiga wakil UMNO itu sebulat suara akan membawa isu-isu rakyat untuk mencari penyelesaian yang baik terutamanya membabitkan permasalahan awam termasuk banjir, kesesakan lalu lintas, dan lesen penjaja.
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa, H'ng Mooi Lye, berkata surat pelantikan sudah diserahkan kepada Ahli Majlis yang baharu dengan lantikan mereka bermula Oktober ini sehingga 31 Disember 2024 bagi sesi 2023/2024.
"Majlis angkat sumpah dan menandatangani pengakuan menerima jawatan bagi MBPP akan diadakan esok di Dewan Bandaraya, manakala bagi MBSP, akan diadakan pada minggu ketiga Oktober ini memandangkan ketiadaan Datuk Bandar yang berada di luar negara atas urusan kerja rasmi.
"Harapan saya Ahli Majlis baharu dilantik dapat berganding bahu menyumbang idea baharu, pengalaman dan tenaga ke arah memastikan PBT Pulau Pinang terus cemerlang," katanya.