|
Ten Hag gesa Man Utd bersatu ketika krisis
PENGADIL, Ivan Kruzliak melayangkan kad merah kepada Casemiro (tiga dari kiri) yang terpaksa membentes penyerang lawan selepas Onana tersilap membuat hantaran. FOTO AFP
Manchester: Pengurus Manchester United, Erik ten Hag yakin Red Devils akan menemui jalan untuk keluar daripada krisis pada awal musim ini selepas berdepan persoalan sama ada dia mungkin kehilangan jawatannya.
United tewas kali keenam daripada sembilan perlawanan apabila kecundang 2-3 di tempat sendiri di tangan Galatasaray, hari ini.
Malah, buat pertama kali kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) itu tewas dua perlawanan awal peringkat kumpulan pada kempen Liga Juara-Juara Eropah (UCL).
United turut mengalami permulaan terburuk dalam kempen EPL apabila tewas empat daripada tujuh perlawanan awal.
Ten Hag sebelum ini menikmati musim pertama yang cemerlang di Old Trafford apabila membimbing kelab kembali ke UCL dengan menduduki tempat ketiga liga dan menamatkan kemarau trofi enam musim dengan menjulang Piala Liga.
"Musim lalu memang hebat, cemerlang lebih daripada apa yang kami jangkakan," kata bekas pengurus Ajax itu.
"Malah, apabila kami meneruskan projek ini, kami sedar mungkin ada jurang. Ketika ini, kami melalui tempoh sangat sukar dan semua orang boleh ligat, tetapi kami akan hadapinya bersama-sama.
"Kami berjuang bersama-sama, terus bersatu dan saling menyokong satu sama lain. Saya, barisan pengarah dan pasukan akan berjuang bersama-sama. Ini bukan kami yang sebenar dan kami tahu perlu melakukan lebih baik dan perlu bersama-sama keluar daripada krisis ini."
Penjaga gol, Andre Onana sekali lagi berdepan malam yang mahu dilupakan apabila permulaan sukar kariernya di United berterusan.
Dia mengaku bertanggungjawab ketika United tewas 3-4 di Bayern Munich, dua minggu lalu selepas gagal menangkap kemas bola yang menghadiahkan gol pertama kelab Jerman itu.
Penjaga gol Cameroon itu membuat kesilapan apabila menghantar bola kepada Dries Mertens sehingga Casemiro terpaksa menerjah untuk menjatuhkan penyerang Galatasaray itu dan Casemiro dilayangkan kad kuning kedua sebelum dibuang padang pada minit ke-77.
Sepakan penalti diambil Mauro Icardi tersasar, namun dia menebus kesilapan itu dengan menjaringkan gol kemenangan empat minit kemudian apabila menolak bola melepasi Onana.
Sumber:https://www.hmetro.com.my/arena/ ... rsatu-ketika-krisis
|
|