|
UEFA merancang untuk menganjurkan Liga Super, Liga Europa dan Liga Aspiring sekali gus menyaksikan berakhirnya pertandingan Liga Juara-Juara. – Foto REUTERS
NYON, Switzerland: Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) dilaporkan menimbang untuk menganjurkan Liga Super mereka sendiri dalam tindakan yang bermakna berakhirnya pertandingan Liga Juara-Juara.
Badan induk bola sepak Eropah itu dijangka berbincang mengenai rancangan bagi pertandingan baharu, yang akan menampilkan naik turun pasukan dan kemungkinan perlawanan pada hujung minggu.
Berita itu hadir dua tahun selepas kegagalan pembentukan Liga Super Eropah yang mahu mencabar Liga Juara-Juara.
Bagaimanapun, akhbar Sepanyol, El Pais melaporkan UEFA dan Persatuan Kelab Eropah (ECA) mencari formula mereka sendiri untuk menganjurkan Liga Super.
Rancangan mereka terdiri daripada tiga liga dengan 18 pasukan setiap satu selain wujudnya turun naik antara divisyen.
Divisyen itu mungkin dinamakan Liga Super, Liga Europa dan Liga Aspiring sekali gus bermakna penamat kepada pertandingan Liga Juara-Juara.
Menurut laporan itu, rancangan itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif UEFA akan datang.
Empat pasukan akan turun dan naik divisyen antara divisyen dua dan tiga, dengan dua pasukan antara dua liga teratas.
Difahamkan ia disebabkan kelab elit tidak mahu risiko turun divisyen terlalu besar.
Mereka juga meminta penyingkiran daripada Liga Super ditentukan dengan purata tiga atau lima musim bukannya satu musim.
Jika ia berjaya dianjurkan, Liga Super itu hanya akan bermula hingga selepas berakhirnya musim 2024-27. – AGENSI
https://www.bharian.com.my/sukan ... -rancang-liga-super |
|