|
PEMAIN Perak, Luka Milunovic (dua kiri) meraikan jaringan gol bersama rakan pasukan pada perlawanan Liga Perak FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, semalam. FOTO AZRUL EDHAM
Seremban: Menggunakan setiap peluang dengan sebaiknya menjadi kunci kepada kejayaan Perak FC membenam Negeri Sembilan FC (NSFC), 1-0, dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.
Itu antara rumusan yang dibuat pengendali Perak, Yusri Che Lah, selepas pasukannya berjaya meneruskan rentak kemenangan kedua-dua berturut-turut selepas sebelum itu menewaskan Sabah FC dalam suku akhir Piala Malaysia.
Menurutnya, walaupun tidak banyak percubaan tepat dapat dihasilkan jentera serangan pasukan itu susulan kesukaran melepasi bahagian benteng Negeri Sembilan, namun pemainnya berjaya menggunakan peluang yang terhad untuk menjaringkan gol.
"Saya memberikan kebebasan kepada pemain untuk mencorakkan persembahan pasukan dan ingatan sebelum perlawanan hanya mahu mereka beraksi pada tahap keupayaan sebenar serta tidak terlalu memikirkan keupayaan lawan.
"Saya hanya mahu mereka memberikan persembahan terbaik dan anggap setiap perlawanan itu adalah penting untuk kerjaya masa depan dan keluarga.
"Jelas, pemain telah menunjukkan kemampuan sebenar dan keinginan tinggi untuk menang walaupun menerima tentangan sengit daripada Negeri Sembilan," kata Yusri kepada media selepas perlawanan malam tadi.
Pemain import berasal dari Yugoslavia, Luka Milunovic meledak gol tunggal perlawanan pada minit ke-50, untuk membantu Perak meraih tiga mata.
Mengulas lanjut, Yusri percaya kemenangan dicapai ke atas skuad Hobin Jang Hobin itu dapat meningkatkan lagi keyakinan anak buahnya menjelang pertembungan separuh akhir Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta`zim (JDT) pada 19 Oktober ini.
Pengendali kelahiran Kangar Perlis berusia 47 tahun itu berkata, cabaran perlawanan malam tadi sudah tentu berbeza apabila menentang JDT nanti.
"Apa yang dipertontonkan malam ini (malam tadi) mungkin sedikit mudah kerana Negeri Sembilan hanya menurunkan tiga pemain import, tapi kita akan bertemu dengan pasukan yang lebih baik selepas ini pada separuh akhir Piala Malaysia.
"Saya mengharapkan pemain kekal fokus dan konsisten dalam persembahan kerana cabaran berdepan JDT nanti pasti lebih sukar dan menuntut setiap pemain memberikan persembahan lebih 100 peratus.
"Apapun, pujian harus diberikan kepada pemain atas kemenangan ini untuk membantu pasukan menambah mata walaupun perjuangan memperbiki kedudukan dalam carta liga masih berliku," katanya.
Selepas menamatkan 22 perlawanan, Perak masih kekal berada di tangga ke-11 carta liga dengan mengumpul 19 mata.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... gat-jumpa-jdt-yusri |
|