|
![](https://assets.hmetro.com.my/images/articles/photo_2023-10-01_15-54-24_1696147031.jpg)
MELATI menunjukkan gambar adiknya, Munirah (dalam tanda bulatan merah) yang maut ditikam suami. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Alor Setar: "Anak-anak arwah adik belum tahu kejadian sebenar yang menimpa ibu mereka tapi mungkin mereka akan tahu bila jenazahnya dibawa pulang untuk dikebumikan hari ini," kata Melati Abu Bakar, 39.
Melati adalah kakak kepada Munirah Abu Bakar, 31, jururawat yang maut selepas ditikam suaminya di Jalan Padang Nyu, Arau, Perlis, semalam.
Katanya, dia yang menjaga kedua-dua anak mangsa berusia lapan dan enam tahun itu ketika ini hanya akan memberitahu perkara sebenar apabila jenazahnya dibawa pulang untuk dikebumikan hari ini.
"Anak sulung arwah ada tertanya-tanya juga, Mana mama? Mama tak balik kerja lagi?
"Mereka mungkin menganggap ibunya masih di tempat kerja dan belum pulang," katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini hari ini.
Melati berkata, dia dan bapanya, Abu Bakar Senapi, 64, ke HSB awal pagi hari ini untuk melakukan proses pengecaman mayat sebelum proses bedah siasat dilakukan.
Katanya, keluarga masih terkejut dengan tragedi yang menimpa anak kelima daripada enam beradik itu namun reda dengan takdir itu.
"Kami sudah memaafkan suspek yang dianggap seperti keluarga sendiri itu tapi berat nak cakap hal perasaan kami sekeluarga sebab memang rasa 'sakit' tetapi kami sudah maafkan suaminya.
"Cuma kami minta kalau ada keputusan (mahkamah) nanti biarlah dia (suspek) diadili seadil-adilnya," katanya.
Melati berkata, kali terakhir mereka sekeluarga bertemu dengan mangsa pada Ahad lalu ketika dia datang makan tengah hari bersama keluarganya.
"Arwah ketika itu langsung tidak menunjukkan apa-apa petanda dan kelihatan ceria seperti selalu.
"Arwah adik memang seorang yang ceria dan tidak pernah memberitahu apa-apa berkaitan masalah rumah tangganya.
"Mereka sudah hampir 10 tahun berkahwin, kalau bergaduh sikit-sikit itu biasalah. Suaminya juga baik dengan kami sebab itu kami semua terkejut dengan kejadian yang menimpa Munirah itu," katanya.
Menurut Melati, mereka sekeluarga mengetahui dengan tragedi itu sekitar jam 1 petang semalam.
Katanya, bapanya sudah mengetahui lebih awal kejadian itu dan sempat ke rumah Munirah tetapi polis sudah berada di lokasi.
Katanya, jenazah akan dikebumikan di Kampung Paya Tengah Beseri, Perlis.
Media sebelum ini melaporkan seorang jururawat Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar maut ditikam suaminya, semalam.
Berikutan itu, polis menahan seorang lelaki yang disyaki menikam mati isterinya itu dengan pisau di kediaman pasangan itu di Jalan Padang Nyu, Arau semalam dan direman tujuh hari untuk membantu siasatan.
https://www.hmetro.com.my/utama/ ... urawat-maut-ditikam |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|