GUAR CHEMPEDAK: Hujan lebat dan angin kencang petang tadi menyebabkan beberapa rumah kedai dan kediaman penduduk di pekan ini dilanda banjir kilat.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Yan, Leftenan (PA) Muhammad Zul Izzi Zulkifli, berkata kejadian berlaku pada jam 7.05 petang dengan paras air di kawasan itu dikesan sedalam satu meter.
Bagaimanapun, katanya, tiada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka setakat ini.
"APM Yan masih melakukan pemantauan di kawasan sungai. Sehubungan itu, penduduk yang tinggal di kawasan rendah boleh menghubungi pasukan penyelamat untuk berpindah sekiranya air terus naik di kawasan kediaman mereka," katanya.
Beliau berkata, keadaan di kawasan itu ketika ini masih hujan dan anggotanya melakukan persediaan kemungkinan berlaku banjir.