CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 16537|Reply: 0

Terap nasihat bernas berpaksikan agama

[Copy link]
Post time 27-9-2023 08:11 PM | Show all posts |Read mode
Terap nasihat bernas berpaksikan agama


NASIHAT tertib berasaskan agama akan menjuruskan jiwa anak untuk berada dalam landasan agama yang murni.



Pendidikan untuk anak keperluan yang tidak seharusnya diabaikan. Hal itu kerana silap kaedah didik akan menerbitkan natijah negatif. Kalau kita selalu meneliti perkembangan dunia buku khususnya yang bersangkutan dengan ilmu psikologi, maka kita temui banyak buku y mengutarakan bermacam-macam teori pengajaran dan amali pendidikan terhadap kanak-kanak.

Meskipun kita sentiasa bertembung dunia teori aliran pendidikan barat yang dimegahkan kerana dipersepsikan sebagai menepati kehendak sains pendidikan moden, tetapi ada sesuatu dalam Islam tidak wajar diperlekeh iaitu kaedah pengajaran ditinggalkan Luqman al-Hakim.

Kaedah pendidikan digunakan Luqman al-Hakim ialah mengaplikasikan kaedah nasihat. Dengan pengertian lain, beliau lebih peka menyelami alam psikologi anak dan menggilap jiwa mereka. Sentuhan tangan ada kalanya bermanfaat, tetapi ilmu psikologi banyak menyarankan kaedah secara lisan yang mampu menyerapkan unsur pendidikan terhadap kanak-kanak. Dan inilah sebenarnya diamalikan Luqman al-Hakim.

Misalnya, kaedah Luqman menitipkan kepada anak bagaimana memilih rakan sebaya sebagai sahabat dalam pergaulan. Ini penting untuk kita teladani supaya anak-anak sama ada di peringkat awal kanak-kanak, apatah lagi yang sedang membesar menjadi remaja perlu dipandu arah tuju persahabatan yang menepati kehendak agama. Anak terbiar lepas tanpa pemantau jitu dalam aspek pergaulan memungkinkan mereka tergelincir ke dalam unsur laku menyeleweng daripada tatanorma budaya masyarakat dan yang bertentangan dengan landasan agama. Justeru, sebagai ibu bapa, kita perlu peka dan waspada.

Luqman ada memberi nasihat bergaya pakar psikologi hebat yang mana beliau berkata, "Wahai anakku. Duduk bergaul bersama golongan yang menyebutkan nama Allah (mengingati-Nya). Kerana sekiranya engkau seorang yang berilmu, maka ilmu itu akan memberi manfaat kepadamu dan sekiranya engkau seorang yang jahil, maka mereka akan mengajarmu. Bahkan, sekiranya rahmat atau rezeki dilimpahkan ke atas mereka, pastinya engkau berkongsi bersama mereka."

Nasihat ini akan memandu anak kita untuk memilih sahabat yang berguna. Baik buruk sahabat sedikit sebanyak mempengaruhi sikap tata laku anak-anak kita. Pembawaan peribadi mereka bukan sahaja ditiru daripada karakter peribadi ayah dan ibu kerana mereka juga membesar dan berkembang dalam persekitaran bersahabat yang lebih luas.

Anak-anak khususnya yang memasuki alam remaja perlu ditinjau rapi corak aliran pergaulan harian mereka. Tinjau pandang dilakukan akan membolehkan kita sebagai ibu bapa membimbing mereka dari awal. Janganlah hanya kita terpaksa berhempas pula membetulkan keadaan yang sudah buruk. Tambahan, dalam dunia moden yang serba canggih ini pelbagai unsur negatif dalam aspek bergaul boleh mengelincirkan mereka ke kancah yang negatif.

Seterusnya Luqman memanjangkan sedikit lagi nasihat kepada anaknya berhubung aspek pergaulan itu. Kata beliau, "Wahai anakku. Janganlah engkau duduk bergaul dengan golongan yang tidak mengingati Allah. Kerana sekiranya engkau seorang yang jahil, maka mereka akan menambahkan lagi kejahilan dalam dirimu. Dan sekiranya engkau seorang yang alim, maka ilmu itu tidak memberi sedikit manfaat pun kepadamu. Bahkan, sekiranya laknat dan kemurkaan Allah diturunkan ke atas mereka, nescaya engkau akan turut berkongsi bersama-sama mereka."

Nasihat Luqman sarat unsur kerohanian dan inilah yang diperlukan sebagai ibu bapa untuk diaplikasikan dalam usaha membimbing anak. Nasihat berhemah berpaksikan unsur agama sudah pasti membekali jiwa anak-anak kita cara memilih rakan dan siapa yang perlu mereka jauhi.

Nasihat terangkum dalam ungkapan kata yang bernas berisikan ajaran agama boleh memandu anak-anak menjalani kehidupan dengan aturan beragama dan bermasyarakat yang murni. Anak-anak kita khususnya dalam peringkat kecil ibarat simen basah. Jiwa dan sahsiah mereka boleh bentuk tetapi apabila simen itu sudah keras amatlah sukarnya untuk membina semula mengikut ukuran pelan yang sebenar.

Dalam aspek pergaulan seharian bersama ahli keluarga mahupun sahabat taulan, Luqman juga tidak mengesampingkan nasihat kepada anak-anaknya supaya menjauhi sikap suka berbohong. Sekali lagi Luqman begitu bijak menyenaraikan perkara-perkara wajib buat dan wajib hindari kepada anak-anaknya. Kata Luqman, "Wahai anakku. Jauhilah negkau daripada bercakap bohong dan berakhlak buruk, kerana barangsiapa yang berbohong lenyaplah air mukanya, dan buruk akhlaknya banyak dukacitanya. Mengangkat batu-batan dari tempatnya lebih mudah daripada memadamkan apa yang tidak difahami."

Ini nasihat supaya anak-anak kita tidak dihinggapi penyakit suka berbohong dan berakhlak buruk. Tata laku peribadi buruk banyak dijiwai anak kita semasa mereka bergaul. Jadi, menerusi langkah proaktif dengan menyalurkan mereka dengan nasihat dan panduan beragama yang kukuh akan mengupayakan mereka menjalani kehidupan bersahabat yang benar di sisi agama, sekali gus boleh menjadi pedoman sehingga dewasa.

Buat check list secara detail berkenaan peribadi anak. Seandainya mereka mulai menampakkan bibit-bibit kelakuan berbaur akhlak buruk dan mula ringan mulut berbohong sama ada dalam pergaulan harian di rumah mahupun sesama rakan sebaya, kita sebagai ibu bapa wajib menegur dan bertindak drastik untuk menerangkan kepada mereka akan keburukan berperibadi sedemikian rupa.

Jadi, dalam usaha membentuk jiwa anak-anak agar mereka membesar dalam kerangka hidup yang diredai Allah dan mampu muncul sebagai seorang insan soleh bermanfaat untuk keluarga dan masyarakat, pendekatan bimbingan dan pendidikan berkesan seharusnya dilaksanakan dengan teliti dan rapi. Usah remehkan aspek bimbingan kerana kelak memudaratkan jiwa serta menyulitkan kita sebagai ibu bapa untuk melakukan pembaikian semula.

Oleh itu, kaedah diguna pakai Luqman al-Hakim masih relevan dan menepati kehendak semasa. Nasihat tertib dan berasaskan natijah agama akan menjuruskan jiwa anak untuk berada dalam landasan agama yang luhur murni. Kata-kata nasihat lebih berbekas di hati anak daripada hanya menggunakan kekerasan yang boleh merencatkan pertumbuhan dan perkembangan jiwa mereka.

Penulis Pensyarah Kanan Politeknik Muadzam Shah

Sumber:https://www.hmetro.com.my/addin/ ... s-berpaksikan-agama

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

27-12-2024 02:13 PM GMT+8 , Processed in 0.043686 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list