View: 11342|Reply: 0
|
Genggam erat ajaran nabi
[Copy link]
|
|
Genggam erat ajaran nabi
FOTO HIASAN
Rasulullah SAW adalah pembawa rahmat buat seluruh alam yang mencetuskan era dan norma baharu kehidupan manusia di muka bumi ini. Meskipun Baginda SAW memulakan syiar dakwah agama suci, Islam di bumi Arab, namun segenap ajaran dan panduan yang dibawanya untuk keseluruhan umat manusia.
Bayangkanlah ketika alam persekitaran Baginda SAW yang masih diselubungi budaya jahiliyyah, Baginda terus-menerus tanpa henti memberikan pencerahan dalam kehidupan yang jauh lebih murni dan harmoni. Tiga belas tahun berjuang membetulkan akidah kepada agama tauhid di bumi kelahirannya, Makkah yang seterusnya bersambung di Madinah al-Munawarrah selama 10 tahun pula bagi melengkapkan visi suci ajaran Islam.
Sebelum Nabi SAW diutus sebagai Rasul, kehidupan masyarakat ketika itu dalam keadaan tenggelam dengan budaya hidup kesesatan, kejahatan, kezaliman dan amalan sosial yang tidak berakhlak. Kehidupan yang berdebu jahiliyah penuh dengan kerendahan moral dan akhlak, kemudian satu persatu unsur jahiliyyah dibaik-pulih oleh Nabi SAW. Pencerahan dalam gaya hidup bertauhid yang kukuh bersama kekebalan iman, takwa dan akhlak tinggi memberi nafas baharu dalam kehidupan masyarakat Arab.
Pada 21 Ramadan, tetapi majoriti ulama sejarah mengatakan pada 17 Ramadan, turunlah wahyu pertama ke atas Nabi SAW melalui Malaikat Jibril semasa Nabi SAW di dalam Gua Hira' sekali gus sebagai petanda berakhirnya era kegelapan dan muncul kehidupan berdasarkan ajaran tauhid yang benar.
Surah al-Alaq ayat 1 hingga 5 yang bermaksud: "Bacalah, dengan nama Tuhanmu yang menciptakan, menciptakan manusia daripada segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah yang Maha Mulia, yang mengajar (manusia) dengan pena. Dia mengajarkan manusia, apa yang tidak diketahuinya…"
Bermula dengan turunnya wahyu sulung ke atas Nabi Muhammad SAW yang intipati awalnya menjuruskan kepada suruhan untuk membaca itu jelas membukti bahawa umat manusia akan menjadi hamba Allah yang sentiasa mendambakan sifat kehambaan kepada Yang Maha Esa berlandaskan kepada keutuhan ilmu.
Justeru, junjungan Mulia Nabi kita, Nabi Muhammad SAW semenjak awal syiar Islam fasa kedua semasa berada di Madinah selepas penghijrahan telah membangkitkan suatu norma baharu kehidupan masyarakat ketika yang terpancar menerusi kegiatan keilmuan di Masjid Nabawi yang dimanfaatkan oleh sahabatnya setiap titipan ilmu yang disampaikan oleh Baginda.
Alangkah ruginya kita yang hidup pada akhir zaman ini tidak memperindahkan setiap pesanan Nabi SAW kerana kesemua yang dipesan Baginda mencakup apa jua bidang lapangan kehidupan. Sebutlah apa bidang sekalipun, pasti ada pesanan yang Baginda pernah ingatkan.
Cuma, kita sahaja yang mengabaikan dan meremehkannya. Maka, jadilah kita umat yang mengesampingkan sunah Baginda, sebaliknya lebih berbangga mengikut budaya fikir asing yang dijaja sebagai kononnya hebat dan maju. Kemajuan dan kemodenan dunia yang didokong oleh tamadun asing yang banyak mempengaruhi sikap dan alir fikir umat Islam, khususnya generasi anak muda Muslim telah menenggelamkan intipati penuh hikmah lagi bermanfaat yang ditinggalkan oleh Nabi Muhammad SAW.
Lanjutan itu, muncullah pelbagai gejala sosial yang menjijikkan sekali gus mewayangkan babak kehidupan yang tidak lagi menampakkan ciri-ciri anak muda berjiwa Muslim yang sebenarnya sebagaimana ditunjukkan oleh Nabi SAW. Makin lama, semakin jauh nilai akal budi, akal adab dan akal akhlak manusia generasi muda daripada tuntutan Islam yang murni.
Saidina Umar al-Khattab semasa hidupnya pernah berkata: "Kita adalah satu golongan yang diberikan kemuliaan oleh Allah dengan Islam. Sesiapa yang mencari selain daripada apa yang telah Allah muliakan, maka ia telah dihina oleh Allah." Ini juga selaras dengan apa yang pernah diingatkan oleh Rasulullah SAW yang memberitahu umatnya bahawa Baginda sudahpun meninggalkan pusaka teragung, iaitu al-Quran dan sunahnya.
Jadi, ketika tiba kepada suatu zaman, umatnya tidak lagi mahu mengikut apa yang ditinggalkan itu, bermakna akan muncul pelbagai bentuk kehinaan yang Allah timpakan. Hal tersebut telah dan sedang terjadi dewasa ini. Misalnya, kurangnya daya berfikir yang bertaraf maju dalam mencari ilmu. Umat lain berebut memerah keringat kotak fikir mencipta sesuatu untuk kemajuan, sedangkan anak-anak muda umat Nabi Muhammad SAW sedang seronok dibuai perilaku lagha yang melalaikan.
Ketika umat lain sedang bergerak maju ke hadapan, segelintir umat Nabi Muhammad SAW sedang berada dalam keadaan kritikal kerana bergerak berundur ke belakang dengan meniru budaya 'kolot' yang dianggapnya sebagai budaya maju! Begitulah mungkin satu kehinaan yang Allah timpa apabila ajaran dan akhlak Islam sudah hanya menjadi bahan galeri sahaja, tanpa dihayati dan dipraktikkan.
Penulis Pensyarah Kanan Politeknik Muadzam Shah
Sumber:https://www.hmetro.com.my/addin/ ... am-erat-ajaran-nabi
|
|
|
|
|
|
|
| |
|