CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 2341|Reply: 0

[Wilayah Persekutuan] Dulu 'layan' budu kini ambuyat!

[Copy link]
Post time 7-9-2023 10:58 AM | Show all posts |Read mode

HAMPIR 30 jenis hidangan makanan tradisi etnik Kadazan, Dusun dan Murut di Sabah disediakan di restoran Monsoi Onsoi.

Kuala Lumpur: Bila sebut mengenai Kelantan, selera anak jati negeri Cik Siti Wan Kembang itu, sering dikaitkan dengan budu, nasi kerabu atau singgang.

Namun, bagi Faisaa Fashrin Abd Halim Chua, 35, yang bertemu jodoh dengan wanita dari Negeri Di Bawah Bayu, kini berubah dengan meminati makanan dan masakan etnik Sabah, lebih-lebih lagi ambuyat, hidangan yang diperbuat daripada sagu rumbia.

Bekas pramugara yang berasal dari Kota Bharu itu berkata, bibit perkenalan dengan isterinya, Nursitih Bayak, 35, dari Tenom membuka minatnya untuk mengenali makanan tradisi yang menjadi kebanggaan masyarakat di Sabah.

Beliau berkata, walaupun baru berkahwin pada Mac lalu, mereka sudah mengenali isterinya sejak lima tahun lalu dan sejak itu mula meminati makanan Sabah.

"Selama saya membujang, saya tidak pernah kenal, tahu atau makan makanan tradisi Sabah. Saya hanya tahu Sabah terkenal dengan hasil laut dan jika saya ke sana, memang itu yang menjadi pilihan utama," katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Faisaa Fashrin berkata, isterinya yang juga pemilik restoran Monsoi Onsoi di Cheras, di sini, menjadi individu bertanggungjawab memperkenalkan makanan etnik Sabah kepadanya secara berperingkat.

"Menu paling saya minat adalah ambuyat yang dibuat daripada tepung sagu digaul dengan air panas sehingga menjadi kenyal dan berwarna jernih, kemudian dihidang bersama pinasakan iaitu ikan sardin rebus, latok dan lada putih.

"Pada saya, masakan dan makanan Sabah mempunyai keunikan tersendiri selain ia sukar didapati terutamanya di Semenanjung," katanya yang bersama-sama menguruskan restoran menyajikan pelbagai menu makanan kaum di Sabah.

Sementara itu, Nursitih berkata, dia membuka membuka restoran berkenaan yang menawarkan hampir 30 jenis hidangan makanan tradisi etnik Kadazan, Dusun dan Murut di Sabah pada 2019 kerana kesukaran mendapatkan makanan tradisi Sabah di ibu kota.

Menurutnya, dia mahu berkongsi rasa masakan negeri kelahirannya yang terkenal dengan kepelbagaian budaya unik seterusnya menjadi 'jambatan' untuk saling mengenali dan memupuk hubungan erat antara kaum di negara ini.

Berkongsi lanjut, Nursitih berkata, rasa cintanya terhadap makanan Sabah diterjemahkan menerusi Monsoi Onsoi dalam bahasa Murut yang bermaksud 'Bagus Bagus' bertujuan memperkenalkan budaya dan makanan di Negeri di Bawah Bayu itu ke mata dunia.

"Secara tidak langsung, ia membantu mempromosikan hidangan turun-temurun berkenaan agar tidak hilang ditelan zaman dengan memperkenalkan kepada generasi muda," katanya sambil menambah tukang masak di premis berkenaan dibawa khas dari Sabah.

Katanya, restorannya itu bukan sahaja menarik perhatian pengunjung anak Sabah yang berada di Semenanjung, tetapi juga penduduk tempatan.

"Bagi penggemar menu istimewa seperti ambuyat, lada putih, tuhau, hinava dan latok, ia boleh dinikmati di restoran ini tanpa perlu merentasi Laut China Selatan untuk merasainya.

"Bagi mengekalkan rasanya yang asli, kami mendapatkan bahan penyediaan juadah daripada pembekal di Sabah," katanya yang bercadang membuka cawangan kedua di Puchong, Selangor tidak lama lagi.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... n-budu-kini-ambuyat
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

15-2-2025 12:59 PM GMT+8 , Processed in 0.048812 second(s), 10 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list