View: 3424|Reply: 0
|
[Wilayah Persekutuan]
Kecewa majlis kahwin dibatalkan jadi motivasi turunkan berat badan
[Copy link]
|
|
![](https://assets.hmetro.com.my/images/articles/photo_2023-09-06_16-48-27_1693990419.jpg)
MUHAMMAD Iskandar berjaya menurunkan berat badan dari 130kg kepada 90kg. FOTO Ihsan Muhammad
Kuala Lumpur: Pemuda ini mengambil tindakan nekad untuk menjaga penampilan diri apabila berjaya menurunkan berat badan dari 130 kilogram (kg) kepada 90kg selepas membatalkan majlis perkahwinan yang sepatutnya berlangsung pada Oktober tahun lalu.
Muhammad Iskandar Abdul Rahman, 28, berkata kekecewaan itu dijadikan pembakar semangat untuk dirinya memulakan 'perjalanan' untuk menurunkan berat badan serta mengamalkan gaya hidup dan pemakanan sihat bermula November lalu.
Menurutnya, dia mengamalkan pemakanan defisit kalori dan bersenam di gimnasium.
"Bagi saya penjagaan makanan tersangatlah penting. Saya kurangkan gula, minyak dan makanan segera, sebaliknya banyak makan 'real food' dan lebihkan protein dalam pemakanan.
"Sebenarnya, apa yang mendorong saya untuk menurunkan berat badan juga adalah apabila saya tak jadi berkahwin.
"Disebabkan kekecewaan itu saya jadikan pembakar semangat untuk mulakan perjalanan menurunkan berat badan. Ia juga memotivasikan diri untuk mengamalkan gaya hidup lebih sihat. Alhamdulillah, sampai sekarang jumlah penurunan lebih 40kg," katanya.
Menurutnya, dia menyalahkan diri sendiri atas keputusan dibuat selain menganggap tidak ada jodoh.
"Sebulan lagi nak kahwin, saya putuskan untuk tidak meneruskan perkahwinan. Saya anggap tak ada jodoh antara kami. Dalam masa sama, saya menyalahkan diri sendiri juga. Sebab ketika itu saya lebih sayangkan orang lain daripada diri sendiri.
"Jadi, sepanjang perjalanan menurunkan berat badan ini, Alhamdulillah saya jumpa diri yang sebenar-benarnya. Apa yang memotivasikan saya adalah sayang diri sendiri dengan cara menjaga fizikal badan dan penampilan yang baik secara berterusan," katanya.
Katanya, dia mendapat pelbagai maklum balas dan reaksi positif orang sekeliling selepas melihat perubahan dirinya.
"Penerimaan sangat luar biasa dan sangat positif. Orang sekeliling saya juga gembira dengan perjalanan ini. Gaya hidup saya juga lebih sihat daripada sebelumnya," katanya.
https://www.hmetro.com.my/utama/ ... urunkan-berat-badan |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|