|
![](https://assets.hmetro.com.my/images/articles/photo_2023-08-22_23-40-15_1692718939.jpg)
NOR Hidayah (kiri) dan Norazian menunjukkan gambar Muhammad Syafiq. FOTO Muhamad Lokman Khairi
Parit: Hasrat seorang pemuda melaksanakan ibadah 'aqiqah' bagi menyambut kelahiran bayinya hujung tahun ini tidak kesampaian apabila dia disahkan maut dalam kemalangan jalan raya, hari ini.
Dalam kejadian 10.15 pagi tadi, Muhammad Syafiq Muhammad Nazri, 23, dilaporkan parah di kepala selepas motosikal ditungganginya dipercayai hilang kawalan dan terbabas di KM 42, Jalan Ipoh-Lumut dekat Jambatan Bota, di sini.
Kejadian malang berkenaan terjadi ketika mangsa dalam perjalanan ke rumah selepas menghantar isterinya, Nor Hidayah Rosli, 20, ke tempat kerja.
Menurut Nor Hidayah, sudah menjadi rutin harian buat suaminya menghantar dan mengambilnya di kedai makan Warung Simpang Desa, Gelung Pepuyu, di sini sejak mereka melangsungkan perkahwinan Januari lalu.
"Tak pernah terdetik di fikiran saya bahawa suami akan pergi dengan cara sebegini. Pagi tadi ketika dia hantar saya ke tempat kerja, semuanya seperti biasa sahaja.
"Apabila boss (majikan) beritahu suami meninggal dunia kerana kemalangan, saya tak percaya sehinggalah saya sendiri ke tempat kejadian dan lihat dengan mata sendiri motosikal ditunggangi suami remuk di tepi jalan," katanya sebak ketika ditemui di kediaman keluarga mentuanya di Kampung Baru Layang-Layang Kanan, di sini, petang tadi.
Nor Hidayah yang sedang hamil lima bulan turut mengakui terkilan kerana suaminya sebelum ini pernah menyatakan hasrat membela kambing untuk ibadah 'aqiqah' meraikan kelahiran anak sulung mereka nanti.
"Dia kata mahu bela kambing (untuk kenduri aqiqah), tapi anak dalam kandungan ini pun tak sempat kenal ayahnya," katanya.
Sementara itu, ibu kepada arwah Muhammad Syafiq, Norazian Samsudin, 56, berkata, anak kedua dari enam beradik itu sempat menyatakan hasrat kepadanya untuk menyiapkan juadah tauhu goreng masak kicap pada malam sebelum kejadian.
"Jadi pagi tadi saya masak juga untuk dia makan selepas hantar isterinya ke tempat kerja.
"Tak sanggup saya nak lihat juadah itu atas meja, langsung dia tak sempat merasa padahal itu permintaan terakhirnya," katanya sebak.
Menurut Norazian, dia menerima khabar duka itu ketika dalam perjalanan ke Ipoh bersama suami, Mohd Nazri Ariffin, 62, dan anak bongsunya atas urusan membuat kad veteran tentera milik suaminya.
"Saya reda dengan ujian ini. Ketika kucup dahi arwah buat kali terakhir saya mohon sangat pada Allah ampunkan dia," katanya.
Jenazah Muhammad Syafiq Selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Baru Layang-Layang Kanan jam 4 petang tadi.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... sulung-tunai-aqiqah |
|