View: 815|Reply: 0
|
Jaringan lewat Wood lonjak Forest
[Copy link]
|
|
Penyerang New Zealand, Chris Wood (dua dari kanan) menanduk masuk gol kemenangan menewaskan Sheffield United 2-1 pada aksi Liga Perdana Inggeris di City Ground, Nottingham awal pagi tadi. – Foto AFP
NOTTINGHAM, England: Chris Wood mencipta kemenangan pertama Nottingham Forest dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini apabila penyerang New Zealand itu menanduk masuk gol lewat bagi membantu mengatasi Sheffield United 2-1 awal pagi tadi.
Wood menyumbat masuk pada minit ke-89 di City Ground bagi memastikan Forest bangkit daripada kekalahan 2-1 di Arsenal pada aksi pembukaan musim mereka hujung minggu lalu.
Pasukan kendalian Steve Cooper mendahului seawal minit ketiga menerusi tandukan Taiwo Awoniyi.
Gustavo Hamer menyamakan kedudukan tiga minit selepas rehat dalam penampilan sulungnya bersama Blades. Pemain tengah itu tiba minggu lalu dari kelab divisyen dua Coventry.
Pemain Sheffield United, Gustavo Hamer (kanan) meledak gol tunggal menentang Nottingham Forest di City Ground awal pagi tadi. – Foto REUTERS
Sumbangan gol dramatik lewat aksi daripada Wood menyaksikan United mengalami kekalahan kedua berturut-turut ketika mereka kembali ke liga utama selepas naik musim lalu sebagai naib juara Liga Kejuaraan.
The Blades tewas 1-0 di laman sendiri kepada Crystal Palace hujung minggu lalu.
Sejak musim lalu, Forest memenangi empat perlawanan berturut-turut di City Ground sebagai pasukan liga utama buat kali pertama sejak tahun 1996.
"Kami bermain bola sepak sebenar pada perlawanan ini, idea taktikal yang sebenar. Akhirnya kami menjaringkan dua gol yang amat bagus," kata Cooper.
"Apabila kami mula bermain sebegini, kami patut bertindak lebih kejam untuk menjadikannya lebih selesa berbanding sebelum ini. Apabila kami bermain bola sepak dengan cara kami, kami kelihatan lebih hebat."
Penyerang Nottingham Forest, Taiwo Awoniyi (dua dari kanan) menanduk masuk gol pertama berdepan Sheffield United seawal minit ketiga di City Ground. – Foto REUTERS
Bos Sheffield United, Paul Heckingbottom menambah: "Forest memulakan perlawanan dengan amat cemerlang. Kami melakukan kesilapan dan melepaskan gol sejak percubaan pertama.
"Tetapi kami berjaya menangani mereka selepas 20 minit. Itulah persembahan yang kami mahukan."
Awoniyi, penjaring gol terbanyak Forest musim lalu, membalas kepercayaan Cooper selepas kembali diturunkan dalam kesebelasan utama.
Dia muncul pemain kedua Forest menjaringkan gol dalam enam perlawanan berturut-turut EPL sejak Stan Collymore pada 1995. – AFP
https://www.bharian.com.my/sukan ... -wood-lonjak-forest |
|
|
|
|
|
|
| |
|