GEORGETOWN: Polis memberi jaminan proses mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang yang berlangsung esok akan berjalan lancar dengan seramai 5,776 pegawai dan anggota polis akan bertugas menjaga keselamatan orang ramai.
Jurucakap Media PRN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner W Pusphanathan, berkata sehubungan itu orang ramai tidak perlu bimbang untuk keluar mengundi dan pengundi diminta merancang perjalanan untuk mengundi bagi mengelak terperangkap dalam kesesakan.
"Hari mengundi esok, seramai 5,776 pegawai dan anggota digerakkan bagi melancarkan proses pilihan raya, penugasan mereka meliputi kawalan keselamatan serta lalu lintas di 334 pusat mengundi melalui 2,138 saluran di Pulau Pinang.
"Sejak penamaan calon iaitu pada 29 Julai sehingga tempoh berkempen hari ini, penugasan polis Kontinjen Pulau Pinang diatur gerak pada tahap terbaik dan bersiap sedia dengan kekuatan yang mencukupi bagi menghadapi PRN," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Katanya sepanjang tempoh berkempen sehingga tengah malam tadi, sebanyak 1,649 permit telah diluluskan oleh ketua-ketua polis daerah dan tiada permit yang dimohon ditolak oleh pihak polis.
Pusphanathan yang juga Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Pulau Pinang berkata bagi tempoh 29 Julai hingga tengah malam tadi, pihaknya menerima 40 laporan polis dan membuka 18 kertas siasatan serta satu kertas enkuiri polis (KEP).
Menurutnya setakat ini tiada tangkapan dilakukan dan polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti mereka yang terlibat melakukan kesalahan berkenaan. – BERNAMA