Gambar diedarkan Agensi Angkasa Lepas Russia, Roscosmos, menunjukkan Roket Soyuz 2.1v membawa jentera pendaratan Luna-25 dari pelantar di kosmodrom Vostochny, 180 kilometer ke utara Blagoveschensk di wilayah Amur, Russia. - Foto AFP
MOSCOW: Russia hari ini melancarkan kapal angkasa pertama bagi mendarat di bulan dalam tempoh 47 tahun dalam usaha menjadi negara pertama melakukan pendaratan awal di kutub selatan bulan, wilayah yang dipercayai menyimpan poket air ais.
Misi bulan Agensi Angkasa Lepas Russia, Roscosmos, itu adalah yang pertama sejak 1976, dalam saingan menentang India, yang melancarkan misi pendaratan bulan Chandrayaan-3 bulan lalu.
Malah, Amerika Syarikat (AS) dan China kini turut memperluaskan program penerokaan bulan secara lebih canggih, yang menyasarkan kawasan kutub selatan bulan.
Roket Soyuz 2.1v yang membawa kapal Luna-25 berlepas dari kosmodrom Vostochny, 5,550 kilometer (km) ke timur Moscow, pada jam 2:11 pagi Jumaat waktu Moscow (11.11 GMT pada Khamis).
Ketua ruang angkasa Russia, Yuri Borisov, memberitahu Interfax bahawa kapal itu dijangka mendarat di bulan pada 21 Ogos ini, sebelum ini menukar kepada 23 Ogos sebagai tarikh pendaratan.
"Sekarang, kita akan menunggu pada 21 Ogos ini, saya berharap bahawa pendaratan awal yang tepat di bulan akan berlaku," katanya.
Luna-25, yang saiznya sebesar kereta kecil, dijangka beroperasi selama setahun di kutub selatan bulan, di mana saintis Agensi Aeronautik dan Angkasa Lepas (NASA) dan agensi angkasa lepas yang lain sejak beberapa tahun kebelakangan ini mengesan jejak air ais.
Terdapat banyak yang diharapkan dalam misi Luna-25, kerana Kremlin berkata sekatan Barat ke atas perang Ukraine, yang kebanyakannya menyasarkan sektor aeroangkasa Moscow, gagal melumpuhkan ekonomi Russia.
Pendaratan bulan itu juga akan menguji kebebasan Russia yang semakin meningkat di angkasa selepas pencerobohan Februari 2022 ke atas Ukraine memutuskan hampir semua hubungan angkasa Moscow dengan Barat.
Antara kehilangan terbesar ialah berakhirnya kerjasama AS-Russia di Stesen Angkasa Antarabangsa, di mana peranan NASA dilihat penting untuk kelangsungan hidup di pos berkenaan.
Kapal angkasa Luna-25 dijangka keluar dari orbit Bumi pada jam 3.30 pagi waktu Moscow, hari ini. - REUTERS
|