NIBONG TEBAL: Kementerian Pendidikan (KPM) sedang memperhalusi mekanisme terbaik dalam usaha merealisasikan projek rintis sekolah khas bagi pelajar keluarga paling miskin di negara ini, yang dijangka dibina awal tahun depan.
Menterinya, Fadhlina Sidek, berkata mekanisme itu seterusnya mungkin dijadikan model khas dalam pembinaan sekolah untuk golongan pelajar miskin, sekali gus dapat mengatasi isu keciciran.
Beliau berkata, pihaknya memberi tumpuan terhadap kriteria yang berkait rapat dengan isu kemiskinan, bantuan dan keadaan yang akan memberikan sokongan kepada ekosistem keseluruhan sekolah itu nanti.
"Jangan salah faham kerana apabila kita bercakap mengenai sekolah ini, berkaitan model khas, maknanya kita bercakap berhubung akses.
"Maksudnya, di mana tempat paling sukar untuk anak-anak ini mendapat akses pendidikan, maka di situlah sekolah model khas untuk kanak-kanak miskin ini akan didirikan," katanya selepas Program Pembinaan Karakter Bangsa Malaysia Pelajar Lepas Menengah di Dewan Datuk Haji Ahmad Salleh, di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Pkharuddin Ghazali dan Pengarah Pendidikan Pulau Pinang, Abdul Rashid Abdul Samad.
Seramai 700 pelajar lepasan menengah menghadiri program berkenaan yang objektifnya bagi memupuk karakter bangsa Malaysia berteraskan patriotisme, kepimpinan dan tanggungjawab sosial.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sabtu lalu memaklumkan kerajaan berhasrat memperkenalkan jenis sekolah baharu yang menyasarkan kepada anak daripada golongan paling miskin di negara ini.
Anwar dilaporkan berkata, pelaksanaan jenis sekolah berkenaan perlu berpandukan kepada kerangka sekolah menengah sains dan berasrama penuh bagi membolehkan golongan terbabit berpeluang mendapat akses pendidikan, walaupun keputusan peperiksaan mereka kurang memberangsangkan.