View: 2245|Reply: 0
|
Penalti Ronaldo bawa Al-Nassr ke final Piala Arab
[Copy link]
|
|
Cristiano Ronaldo (kiri) cuba melepasi kawalan pemain Al-Shorta, Alaa al-Azzawi dan Fahad Youssef pada separuh akhir Piala Juara-Juara Kelab Arab di Abha, awal pagi tadi. – Foto AFP
RIYADH: Cristiano Ronaldo hanya selangkah lagi untuk menjulang trofi kejuaraan sulung sebagai kapten kelab Liga Pro Saudi, Al-Nassr.
Bintang serangan Portugal itu meledak gol tunggal kali ini menerusi sepakan penalti sekali gus membantu mereka menundukkan juara Iraq, Al-Shorta 1-0 untuk mara ke final Piala Juara-Juara Kelab Arab di Stadium Putera Sultan Abdul Aziz di Abha, Arab Saudi awal pagi tadi.
Ronaldo menyempurnakan sepakan penalti itu pada minit ke-75 selepas rakan sepasukan baharunya Sadio Mane dijatuhkan dalam kotak penalti oleh pemain Al-Shorta, Faisal Al-Manaa ketika bekas bintang Liverpool dan Bayern Munich itu seolah-olah menari melepasi benteng pertahanan lawan.
Pengadil Adel Ali Al-Naqbi dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada awalnya enggan memberikan sepakan penalti tetapi akhirnya memutuskan sebaliknya selepas menganalisis video bantuan pengadil (VAR).
Cristiano Ronaldo meraikan jaringannya menerusi sepakan penalti pada babak kedua ketika menentang Al-Shorta pada separuh akhir Piala Juara-Juara Kelab Arab di Stadium Putera Sultan Abdul Aziz, Abha awal pagi tadi. – Foto AFP
Ronaldo tenang menyempurnakan sepakan penalti itu mengatasi penjaga gol lawan Ahmed Basil yang sudah tersalah arah ketika dia melayangkan badan ke sebelah kanan manakala sepakan Ronaldo ditujukan ke arah kirinya.
Ia gol keempat Ronaldo pada kejohanan itu selepas menjaringkan masing-masing satu gol dalam empat perlawanan terakhir bermula aksi kedua peringkat kumpulan.
Pada awal babak pertama, kelab Liga Pro Saudi itu berasakan mereka sudah mendahului apabila Ronaldo menyambut satu lorongan cantik dan merembat masuk melepasi penjaga gol tetapi pengadil membatalkannya kerana ofsaid.
Gol tunggal itu ternyata memadai membawa Al-Nassr ke final pertandingan itu menentang satu lagi kelab Arab Saudi, Al-Hilal di Taif pada awal pagi Ahad ini.
Penyerang Al-Nassr dari Senegal, Sadio Mane (kiri) dijatuhkan pertahanan Al-Shorta, Faisal Al-Manaa dalam insiden yang menyaksikan kelab Arab Saudi itu menerima sepakan penalti pada babak kedua di Stadium Putera Sultan Abdul Aziz, Abha, awal pagi tadi. – Foto AFP
Al-Hilal membenam kelab senegara Al-Shabab 3-1 pada separuh akhir di Stadium Antarabangsa Raja Fadh di Taif sekalipun beraksi dengan 10 pemain bagi hampir keseluruhan perlawanan apabila pemainnya Abdullah Al-Mayouf dibuang padang pada minit ke-25.
Mohamed Kanno meletakkan juara dua kali itu di depan seawal minit kesembilan sebelum import baharu dari Brazil, Malcom menggandakan kelebihan pada masa kecederaan babak pertama.
Al-Shabab, yang juga juara dua kali pada tahun 1992 dan 1999, membalas satu gol menerusi Gustavo Cuellar pada minit ke-56 sebelum Abdullah Al-Hamdan memastikan kemenangan mutlak buat Al-Hilal dengan gol ketiga pada minit kelima masa kecederaan.
Final awal pagi Ahad ini adalah yang pertama buat Al-Nassr pada kejohanan tahunan itu yang menampilkan kelab dari negara Arab termasuk dari negara Afrika seperti Mesir, Tunisia, Maghribi dan Algeria. – AGENSI
https://www.bharian.com.my/sukan ... ke-final-piala-arab |
|
|
|
|
|
|
| |
|