Kulim: Dua beradik ditahan selepas disyaki terbabit kes bunuh saudara kandung sendiri dipercayai berpunca pergelutan di rumah mereka di Taman Mahkota, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Redzuan Salleh, berkata kedua-dua mereka ditahan susulan siasatan lanjut berhubung laporan polis diterima mengenai kematian seorang lelaki yang dibuat salah seorang lelaki yang ditahan itu.
Mengulas lanjut, katanya, pada mulanya seorang lelaki berusia 26 tahun membuat laporan polis kononnya adiknya mengalami kecederaan akibat terjatuh ketika bekerja di kandang kambing.
Katanya, pihaknya menerima laporan daripada lelaki itu pada jam 12.30 tengah hari semalam.
"Dalam laporan itu, lelaki terbabit memaklumkan adik keduanya dipercayai terjatuh pada jam 10.10 pagi hari sama.
"Pengadu kemudian membawa adik keduanya ke Hospital Kulim sebelum mangsa disahkan meninggal dunia," katanya melalui kenyataan.
Bagaimanapun Mohd Redzuan berkata, siasatan mendapati laporan polis dibuat lelaki yang juga abang sulung mangsa itu didapati palsu bagi tujuan menyembunyikan kejadian sebenar.
Katanya, kejadian dipercayai berlaku sewaktu pertengkaran dan pergelutan antara si mati dengan adik bongsunya yang berusia 18 tahun.
"Berikutan itu, polis menahan abang sulung dan adik bongsu mangsa untuk siasatan lanjut.
"Semakan mendapati abang mangsa mempunyai satu rekod jenayah dan dadah, manakala adik bongsu mangsa mempunyai dua rekod jenayah, " katanya.
Mohd Redzuan berkata, setakat ini punca kejadian masih dalam siasatan dan kedua-dua suspek direman tujuh hari sehingga 14 Ogos ini untuk membantu siasatan.
"Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk dibedah siasat dengan punca kematian adalah akibat tikaman pada jantung," katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.