|
![](https://assets.hmetro.com.my/images/articles/vxcb43444_1691484357.jpg)
K Durgaa Shini dan ibunya, N Mala di PPR Raya Permai, Sungai Besi. FOTO AZIAH AZMEE
Kuala Lumpur: Usianya kini 10 tahun, namun berat orang kurang upaya (OKU) fizikal, K Durgaa Shini hanya 15 kilogram (kg) dengan ketinggian 12 sentimeter (cm).
Kelainan Durgaa juga dapat dilihat menerusi kepalanya yang kecil dan kini, dia masih belum berupaya berjalan sebaliknya hanya mampu bergerak dengan merangkak saja.
Walaupun begitu, Durgaa sentiasa tersenyum, malah keletah dan keramahannya yang menyenangkan hati orang sekeliling.
Jadi, tidak hairanlah jika ramai netizen ternanti perkongsian video Durgaa di TikTok yang dimuat naik ibu saudaranya.
Bercerita lanjut, ibunya, N Mala, 43, berkata, Durgaa adalah anak bongsu daripada dua beradik dan menghidap Cerebral Palsy (CP), Sindrom Seckel atau kelainan genetik yang menyebabkan tumbesaran perlahan dan kepala kecil, Global Development Delay (GDD) serta epilepsi atau penyakit sawan.
Menurut Mala, dia tahu masalah itu sejak Durgaa dalam kandungan lagi namun menerima keadaan anaknya itu dengan hati terbuka.
"Waktu kandungan berusia tujuh bulan baru saya dapat tahu keadaan Durgaa termasuk bentuk kepalanya yang kecil.
"Memang sedih tapi saya dan suami terima saja keadaannya begitu.
"Doktor nasihatkan saya bersalin lebih awal kerana khuatir Durgaa meninggal dunia selepas dilahirkan namun saya enggan dan tunggu sehingga sampai waktunya (melahirkan).
"Syukur kerana Durgaa masih bernyawa sehingga ke hari ini," katanya ketika ditemui di rumahnya dekat Sungai Besi di sini, hari ini.
Menurut Mala, Durgaa pernah menjalani pembedahan ketika berusia enam tahun untuk meluruskan lutut kanannya namun masih belum boleh berjalan kerana keadaan kaki yang membengkok.
Bagaimanapun, Mala tidak berputus asa kerana masih membawa Durgaa mencuba rawatan tradisional seperti berurut, terapi berkuda dan fisioterapi.
Menurutnya, dia turut menghantar Durgaa ke Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Al-Mawaddah Kem Sungai Besi di sini, sejak berusia enam tahun kerana mahu anaknya itu mendapat pendedahan dan tidak terperap di rumah saja.
"Di situ (PPDK), dia boleh bergaul, belajar sesuatu juga menjalani fisioterapi dan nampak dia seronok ke sekolah sampai tak nak balik ke rumah.
"Itu yang bagus padanya dan kalau nak diikutkan, tak susah nak jaga Durgaa kerana dia boleh makan apa saja tanpa ada pantang larang.
"Saya pun tak layan dia macam anak istimewa. Apabila keluar rumah pun, orang tengok dia macam budak normal saja mungkin kerana saiznya yang nampak seperti anak kecil tetapi ada juga segelintir bertanya mengenai keadaannya.
"Apa pun, saya terima dia dan masih berharap Durgaa dapat berjalan satu hari nanti," katanya yang berterima kasih dengan sokongan dan kata semangat pengguna TikTok terhadap anaknya serta bantuan warga PPDK.
Sementara itu, Penyelia PPDK Al-Mawaddah Kem Sungai Besi, Suriyana Rosli, 37, berkata, sudah tiga tahun dia mengenali dan mendidik Durgaa.
"Jadi, saya sudah sayang dia (Durgaa) macam anak dan keluarga sendiri.
"Lagipun, Durgaa rapat dengan semua orang dan peramah orangnya jadi perangainya itu yang buat kita rindu. Dia pun panggil saya kakak, kadangkala emak," katanya.
Sementara itu, petugas dan guru fisioterapi PPDK Al-Mawaddah Kem Sungai Besi Guru Fisioterapi A Vijaya, 38, berkata, tugasnya adalah melatih Durgaa berdiri dan berjalan serta ada nampak perkembangan pelatihnya itu.
"Ada (perkembangan) tetapi perlahan memandangkan anak sepertinya tak nampak perubahan dalam sehari dua.
"Bagaimanapun, nampak dia budak yang semangat nak ke sekolah dan sehari tak datang memang sunyi kerana dia mudah rapat dengan orang serta penyayang.
"Ramai sebenarnya anak seperti Durgaa ini dan sebagai pendidik, saya berharap lebih ramai ibu bapa di luar sana menghantar mereka ke ke PPDK supaya dapat pendedahan," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... a-terima-keadaannya |
|