|
Twitter ganti logo burung kepada X
LOGO Twitter dijenamakan kepada X, seperti yang dipaparkan dalam akaun rasmi pemilik media sosial itu, Elon Musk. FOTO AFP
San Francisco: Twitter melancarkan logo baharunya pada Isnin, menggantikan imej burung berwarna biru dengan simbol X yang berlatar belakang warna hitam ketika syarikat milik Elon Musk itu ke arah penjenamaan semula platform sosial media berkenaan sebagai X.
Rangkaian media sosial itu sudah menggunakan logo baharu syarikat itu, tetapi URL platform itu masih dipaparkan sebagai twitter.com dan butang 'tweet' (ciap) berwarna biru masih kelihatan, menunjukkan penjenamaan semula itu belum dimuktamadkan.
Musk dan ketua eksekutif baharu syarikat itu, Linda Yaccarino mengumumkan penjenamaan semula pada Ahad dengan berkata, syarikat itu dijenamakan semula kepada X dan beralih kepada sistem pembayaran, perbankan dan perdagangan pada masa akan datang.
Diasaskan pada 2006, Twitter mengambil namanya daripada ciapan burung dan menggunakan penjenamaan itu sejak awal penubuhannya apabila syarikat itu membeli saham simbol burung biru muda pada harga US$15 (RM68.58), menurut laman Creative Bloq.
Dalam pada itu, Musk menukar gambar profilnya lewat Ahad kepada logo baharu syarikat itu, yang disifatkannya sebagai 'art deco minimalis' (seni dekorasi yang ringkas) dan mengemas kini biografi di Twitternya kepada X.com, yang kini masih twitter.com.
Dia juga membuat hantaran di laman media sosial itu memaklumkan menerusi identiti baharu itu, setiap hantaran akan dipanggil 'an X'.
Musk juga sudah menjenamakan syarikat induk kepada Twitter X Corporation dan berkata, pengambilalihannya ke atas gergasi media sosial itu adalah mencipta jenama X, merujuk kepada syarikat X.com yang diasaskannya pada 1999, versi kemudiannya menjadi gergasi pembayaran dalam talian, PayPal.
Musk sebelum ini berkata, dia mahu mencipta 'aplikasi super' yang dimodelkan pada WeChat China, platform media sosial yang turut menawarkan pemesejan dan pembayaran mudah alih.
Logo baharu X itu turut dipamerkan pada muka bangunan ibu pejabat Twitter di San Francisco pada malam Ahad.
"Dikuasakan oleh AI (artificial intelligence atau kecerdasan buata), X akan menghubungkan kita dengan cara yang baharu kita bayangkan," ciap Yaccarino baru-baru ini.
Yaccarino, bekas eksekutif jualan pengiklanan di NBCUniversal yang dilantik Musk bulan lalu sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Twitter berkata, platform media sosial itu berada di puncak meluaskan skopnya.
"X ialah masa hadapan interaktif tanpa had - berpusat pada audio, video, pemesejan, pembayaran/perbankan - mewujudkan pasaran global untuk idea, barangan, perkhidmatan dan peluang."
Sumber:https://www.hmetro.com.my/global ... ogo-burung-kepada-x
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|