|
Harga Falcao terlampau mahal - Tunku Ismail
Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim (kanan) bersama bintang Colombia, Radamel Falcao. - Foto INSTAGRAM
KUALA LUMPUR: Pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menjelaskan punca sebenar perpindahan bintang ternama dunia, Radamel Falcao ke JDT tidak menjadi kenyataan.
Menurut Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ), JDT tidak mampu menandatangani Falcao kerana harganya yang terlalu tinggi.
"Masa beliau datang berjumpa dengan saya, memang betul kami ada perbincangan untuk membawa Falcao ke sini, tetapi kelab tidak mampu.
"Kami tidak mampu dengan harga yang beliau inginkan kerana harga itu terlampau mahal. Kami ingin menggunakan bajet yang ada untuk beli dua tiga pemain yang lain untuk pertingkat prestasi pasukan.
"Jadi dalam 'strategy wise', untuk 'commercial wise' adalah bagus. Sudah tentu beliau adalah pemain yang 'superstar', tapi kita juga perlu realistik.
"Kerana itulah beliau sudah datang dan berjumpa tetapi kami tidak tandatanganinya," kata Tunku Ismail.
Pemain berusia 37 tahun itu dilaporkan akan menyambung kontraknya di Rayo Vallecano sehingga Jun 2024.
Dalam perkembangan lain, Tunku Ismail menjelaskan, nilai kelab bola sepak JDT kini semakin hampir mencecah RM1 bilion.
Menurut TMJ, nilai berkenaan merangkumi segenap aspek termasuk aset kelab dan jenama JDT itu sendiri.
"Setakat ini kami telah cecah 80 peratus, jadi kami ada lagi 20 peratus untuk mencapai target kami untuk jadi kelab bernilai RM1 bilion.
"Ia termasuk dari segi kewangan, komersial, kekuatan kami dan juga aset," katanya.
JDT akan berdepan KL City untuk aksi final Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim esok.
Sumber:https://www.bharian.com.my/sukan ... -mahal-tunku-ismail
|
|