KANGAR: Usaha pemuliharaan Hutan Simpan Kekal (HSK) perlu terus diperkasakan kerana ia menjadi nadi kepada keseimbangan alam sekitar, kata Presiden Persatuan Ekologi Malaysia (PEM) Profesor Dr Ahmad Ismail.
Beliau berkata pemuliharaan HSK sangat penting kepada manusia dari segi iklim, sumber hutan dan perkhidmatan alam sekitar lain yang merangkumi tanggungjawab menjaga, mengekal serta melestari sumber asas kehidupan iaitu air, udara dan hutan.
"Dengan pertumbuhan penduduk dan permintaan tinggi kepada sektor ekopelancongan, kedudukan dan keaslian HSK perlu diuruskan dengan betul menerusi peraturan dan penguatkuasaan undang-undang yang sesuai dengan keadaan sezaman," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kaedah unik Jabatan Perhutanan Negeri Perlis (JPNPs) menggunakan konsep konservasi terbuka bagi mendidik masyarakat agar lebih mencintai hutan serta biodiversiti di dalamnya.
Ahmad berkata HSK yang diuruskan dengan baik dapat menjamin kestabilan dan kelestarian flora, fauna serta ekologinya.
Bekas presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) itu juga berkata usaha baik yang dilakukan JPNPs itu perlu diperkasakan lagi dengan memberi maklumat secara berterusan agar pengunjung terus terdidik.
Beliau berkata HSK bukan semata-mata untuk disimpan tetapi mesti diuruskan dengan baik untuk faedah manusia.
"Manusia mesti mendapat manfaat daripada perkhidmatan ekosistem yang hutan berikan, jadi perlu ada kajian secara mantap dan berterusan mengenai flora, fauna dan ekologi hutan.
"Dengan cari ini kita dapat memahami perkongsian hutan dengan manusia," katanya.
Ahmad berkata terdapat kawasan hutan yang sensitif dan ia mesti dilindungi sepenuhnya dan ada juga kawasan yang boleh digunakan untuk ekopelancongan.
Beliau turut mencadangkan kerajaan Perlis menjadikan sebahagian daripada hutan untuk aktiviti pendidikan, penyelidikan dan ekopelancongan.
"Pendidikan alam semula jadi juga perlu diberi tumpuan terutama apabila pendidikan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) menjadi trend ketika ini," katanya. –BERNAMA